BERDAMAI DENGAN MAHATHIR

Oleh BORHAN AHMAD

Salam Mahathir

Alam yang indah dan semakin indah
Usia yang sudah sampai di hujung jalan
Walaupun baru 70an, kamu sudah hampir 100
Aku entah mengapa malam ini tiba-tiba teringat
Waktu ke rumah kamu dan kamu datang teaterku
Menonton teatertari di Panggung Eksperimen UM
Kemudian mengundang aku bersama Usman Awang
Menonton teater West End di hotel Regent waktu itu
Dan beberapa lagi yang lebih mesra bersahabat; aku
menghimpun penulis di malam puisi khas untukmu
dan kamu hadiahkan aku majlis makan malam untuk
siapa saja yang aku dan Sutung Umar mahu jemput
Bersantai dengan Perdana Menteri. Ya aku tiba-tiba
teringat semua itu, ketika duduk bersama terbang
dalam jet peribadi PM dari Alor Setar ke KL hanya
bicara puisi dan sastera dan budaya. Lama dulu
Awal 80an – ah, jangan, jangan diusik kenangan
Biarkan saja begitu di situ

Kemudian

Kita bermusuhan. Atau aku yang memusuhi kamu
Memanggil mahazalim mahafiraun macam-macam
Menjerit Macam Orang Gila merata pelusuk negeri
Berdemonstrasi di jalanraya menyokong Reformasi
Nekad sanggup dipenjara namun ramai orang hairan
Mengapa? Mengapa dinsman tak ditangkap walau
sekali pun? Ya, aku juga tertanya-tanya
Tetapi itu cerita lama – jangan diungkit kebencian
Malam ini teringat Dr Mahathir, ingatan yang lain
Bukan di medan permusuhan. Usia hampir 100 kini
Aku terfikir sejahat-jahat manusia pun ada sisinya
yang baik. Berpuluh-puluh tahun sudah membenci
Kini mungkin saatnya berbaik lagi

Aku masih berteater, Mahathir

Teaterku hari ini tak sama teaterku dulu
Terakhir Padang Merbok KL kujadikan sawahpadi
Penonton berhujan berlumpur kaki dengan jerami
menonton teater, dan sekarang aku mahu akhiri
penantian bertahun untuk sebuah naratif terbaik
ciptaan Tuhan sendiri, melalui al-Quran – Istimewa
16 tahun menanti pementasan, mungkinkah
peluang untuk bersama semula dengan kamu?

Mahathir

Fabi-aiyi aalaa-i rabbikumaa tukazzibaan
Itu teaterku terbaru selepas di Padang Merbok
sebenarnya; mendesak kamu lepaskan jawatan PM
Waktu usia sudah tua lebih 93, bersyukurlah
Nikmat Tuhan terlalu melimpah ruah, bersyukurlah
Aku berhujah mengajak kamu mengingat nikmat
Fabi-aiyi aalaa-i rabbikumaa tukazzibaan
Nikmat Tuhanmu mana lagi hendak kamu dustakan!

Mahathir, mari kita berdamai, untuk Allah nan esa
Berdamai kerana Dia. Kita berteater di hujung usia
Jom bersama, kita pentaskan terbaik untuk dunia
Bersama Tuhan, kita buat Teater Nabi Yusuf
Ahsanal Qasas – Naratif Terbaik buat manusia

DiNSMAN
21. 12. 21
#berdamaidenganmahathir