Percutian keluar negara menteri-menteri wajar dihapuskan

Oleh KIM SYAZIE

Arahan pulang segera kepada menteri-menteri yang sedang bercuti di luar negara oleh perdana menteri dua hari lalu sebenarnya menyedarkan kita kepada beberapa ketidakwajaran dalam kerajaan yang perlu diubah.

Yang terpenting sekali, sudah sampai masanya percutian mereka ke luar negara bersama keluarga yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sebagaimana yang dinikmati selama ini dimansukan dengan segera.

Sebaliknya, kerajaan hanya patut menanggung percutian menteri-menteri bagi destinasi dalam negara saja.

Dengan 31 orang menteri dan semuanya ditanggung bercuti setahun sekali ke luar negara bersama keluarga dan anak-beranak sekali, bayangkan berapa banyak duit pembayar cukai dihanguskan begitu saja?

Dengan bercuti di dalam negara, banyak wang rakyat dapat dijimatkan dan dapat dielakkan daripada mengalir ke negara lain, di samping dapat memajukan destinasi pelancongan dalam negara sendiri.

Dalam keadaan ekonomi tidak berapa baik akibat Covid-19, ditambah rakyat pula ramai yang sedang susah dan hilang pendaptan, menghapuskan percutian ke luar negara bagi menteri-menteri dengan sendirinya dapat menjimatkan wang negara.

Begitu pun, jika menteri-menteri ingin bercuti ke luar negara, mereka hendaklah menanggungnya sendiri menggunakan wang poket masing-masing. Kerajaan hanya memberi cuti saja, tapi semua perbelanjaan lain mesti ditanggung sendiri.

Zaman sudah berubah sekarang. Dengan sebahagian besar menteri adalah mereka yang tidak berguna, tidak melakukan kerja sebaik yang diharapkan rakyat, bahkan lebih banyak merapu dan jadi pak lawak daripada memberi idea atau pemikiran yang berfaedah untuk rakyat, menanggung percutian mereka ke luar negara bersama keluarga adalah suatu pembaziran dan ketidakpatutan yang sangat melampau.

Maka, sudah sampai masanya perkara itu dihentikan segera bagi kebaikan rakyat dan juga negara.

Lihat saja dalam bencana banjir yang berlaku sejak minggu lalu, dengan adanya arahan Ismail Sabri Yaakob mengarahkan mereka pulang segera, ia dengan sendirinya bermakna ada beberap menteri yang sedang bercuti di luar negara.

Ia dibuktikan lagi di mana hanya kelibat sebahagian kecil menteri saja yang kelihatan turun bersama rakyat di lapangan ketika banjir sedang melanda beberapa negeri. Dikhabarkan ada antara menteri yang pergi bercuti ke luar negara walaupun ketika banjir sedang melanda.

Hampeehhh betul…Di mana perasaan mereka dan pemimpin jenis apa mereka itu?

Tidak kurang dahsyatnya, menteri yang bertanggungjawab kepada Jabatan Meteorologi (dulu jabatan kaji cuaca) juga dikhabarkan tidak berada dalam negara ketika banjir sedang melanda kali ini.

Di ketika beliau melalui kenyataan medianya meminta rakyat mengambil berat tentang laporan cuaca yang disediakan oleh Jabatan Meteorologi, lebih tak guna sebenarnya apabila menterinya sendiri mengabaikan laporan cuaca itu.

Jika beliau seorang yang mengambil berat tentang laporan cuaca yang disediakan oleh jabatan di bawah kementeriannya, sudah pasti beliau sendiri tidak pergi bercuti ke mana-mana ketika ini.

Selain itu, lazimnya setiap hujung tahun adalah musim tengkujuh di negara kita dan sudah acapkali berlaku banjir akibat daripadanya.

Tetapi, sebagaimana kita juga sedar, ketika inilah ramai menteri mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga ke luar negara.

Langsung tiada perasaan mereka ini. Ketika rakyat di negara sendiri bermain lumpur dan air banjir, mereka pula sibuk dengan keluarga menikmati musim sejuk sambil bermain salji di luar negara.

Jika hanya percutian dalam negara yang ditanggung kerajaan, perkara paling baik ialah dapat membuatkan semua menteri kembali bertugas dengan segera apabila tiba-tiba banjir melanda.

Lebih molek, jika banjir turut melanda destinasi pelancongan di mana menteri-menteri itu sedang bercuti, tentu mereka juga akhirnya terpaksa ‘turun padang’ tanpa menunggu arahan.

Maknanya juga, tidak perlu lagilah Perdana Menteri selepas ini mengeluarkan arahan pulang segera jika mendapati kelibat sebahagian menterinya tidak kelihatan bersama rakyat yang sedang dalam kesusahan di waktu banjir.