Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam membantu mangsa banjir besar yang melanda Selangor.
Presiden AMANAH itu berkata, penghargaan paling besar tentunya terhadap badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Tiada bahasa yang dapat digunakan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua terlibat kepada Seri Paduka BagindaYang di-Pertuan Agong, Raja Muda Selangor, Menteri Kewangan dan menteri-menteri lain serta badan-badan politik termasuk MN (Muafakat Nasional) dan PN (Perikatan Nasional).
“Paling utama rakan-rakan daripada NGO serta kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka,” katanya dalam rakaman video berdurasi empat minit yang dimuatnaik di Facebook rasmi Parti AMANAH Negara hari ini.
Dalam masa sama, Mohamad yang juga bekas Menteri Pertahanan berharap bencana besar banjir akhir tahun ini dapat memberi pengajaran kepada semua pihak.
Beliau mengharapkan kesan kepada rakyat dapat dikurangkan semaksimum mungkin sekiranya kejadian sama berulang lagi pada masa akan datang.
“Saya juga mengucapkan takziah kepada mangsa banjir yang kehilangan ahli keluarga. Simpati kita seluruhnya kepada semua mangsa banjir.
“Buat NGO yang tanpa penat telah, moga Allah membalas segala bentuk budi dan jasa mereka. Semoga kita menjadi masyarakat yang bersifat ehsan dan insan kepada sekalian manusia,” tambahnya lagi.