Air Sungai Tembeling mulai melimpah kembali ke Kampung Bantal, Hulu Tembeling petang tadi selepas hujan renyai berlarutan sejak awal pagi tadi.
Siren amaran berbunyi pada pukul 5.30 petang tadi, menandakan paras air mencapai paras berjaga-jaga sebagai amaran untuk penduduk kampung untuk bersiap sedia menghadapi limpahan dan banjir.
Penduduk Kampung Bantal, Japrun Ali, 62, lapor BH, berkata keadaan air Sungai Tembeling juga agak deras dengan membawa kayu hanyut dari hulu.
Sementara itu, peniaga runcit, Wan Norahan Wan Mahamud, 65, memberitahu sehingga jam 7 malam tadi, hujan masih berterusan dan jeti bot mulai dinaiki air, manakala Dataran Bantal dan pondok menunggu bot penambang dinaiki air sedalam 0.5 meter.
Hujan lebat dijangka berterusan di Pahang melibatkan kawasan Jerantut, Lipis, Raub, Temerloh, Maran, Pekan dan Rompin.