Assalamualaikum Datuk Seri Ismail Sabri,
Sudah pun lebih daripada seminggu sejak kejadian banjir besar di Malaysia ini yang rata-ratanya terkesan kepada golongan B80 Melayu seperti saya.
Namun, sehingga hari ini, tiada seorang menteri, pemimpin atau pun penjawat awam, yang meletak jawatan atau pun yang dipecatkan oleh Datuk Seri kerana urus tadbir yang sudah lama cuai dan bersikap tidak apa-apa.
Jika mahukan mereka ini mempunyai kesedaran sendiri, perasaan tanggungjawab dan berasa salah lalu meletakkan jawatan, memang tidak akan berlaku.
Jadi, apa lagi pilihan rakyat jelata ada pada hari ini Datuk Seri? Pemimpin-pemimpin yang telah cuai dalam kerja tidak dihukum, penjawat awam yang cuai dalam kerja tidak boleh dipecat, maka semuanya akan bermaharajalela sehinggalah kiamat.
Yang parah akhirnya adalah rakyat jelata. Malaysia ‘bernasib baik’ ramai lagi yang tidak celik mata pada pembohongan pemimpin tempatan, maka skema penipuan ahli-ahli politik dapat diteruskan.
Akan tetapi untuk rakyat jelata yang inginkan kehidupan sederhana yang mendapat rahmat Tuhan, sudah tentu akan rasa tersempit.
Datuk Seri, apa lagi pilihan yang ada pada kami untuk pemimpin mendengar rintihan? Selepas pembersihan banjir besar ini, pemimpin-pemimpin Datuk Seri dan konco-konconya akan teruskan kerja-kerja pembalakan, pembahagian kontrak-kontrak kerja yang haram, pemberian jawatan-jawatan tinggi dalam institusi Tabung Haji, Mara, Felda dan seumpamanya kepada kroni-kroni yang hanya ingin mencuri duit tidak bukan orang Melayu sendiri, seolah-olah tidak ada apa-apa pun yang pernah berlaku.
Jadi, bagaimana lagi Datuk Seri? Jika betul telah pun hilang rasa malu, hilang maruah dan hilang integriti, apa lagi pilihan rakyat pada hari ini?
Keluar dari Malaysia? Cari negara lain yang sanggup terima kita kerana pemimpin kita tidak mendengar apatah lagi pedulikan kita?
Saya harap Datuk Seri dan Tan Sri Mahiaddin Yassin dapat memberi jalan keluar untuk orang Melayu B80 ini selepas malapetaka yang telah metimpa kami.
Tidak cukup lagi Covid-19, tidak habis-habis kena cucuk macam ayam, yang ini pula, bagaimana kami mahu keluar dari jerat ini?
Kebanyakan kami kehilangan kerja kerana sekatan ekonomi disebabkan oleh Covid-19, itu belum cukup lagi, sekarang ini dua unit kereta telah pun rosak, bank tetap mahukan bayaran tiap-tiap bulan selama tujuh tahun lagi, perabot rumah tinggal sedikit sahaja, perlu mula semula kehidupan apabila ekonominya tidak ada, bagaimana pula Datuk Seri?
Saya sungguh mengharapkan bahawa peristiwa ini menjadi pengajaran buat kita, akan tetapi saya lihat, kelakuan dan perangai pemimpin dan dalang-dalang dalam kerajaan seolah-olah tidak membawa sebarang iktibar kepada kita. Wallahualam.