Hebatnya Umno

Oleh BORHAN AHMAD

Ada beberapa kawan hubungi aku bagitau aku sekarang ni PH yang dianggotai KeADILan, Amanah, DAP dan UPKO bukan lagi suatu kuasa hebat untuk menentang BN.

Malah selepas dua pilihan raya negeri di Melaka dan Sarawak, jelas menunjukkan merudumnya sokongan terhadap PH baik atas logo PH atau logo parti masing-masing. Di Melaka, DAP hanya berjaya pertahankan 4 daripada 8 kerusi manakala di Sarawak hanya 2 daripada 7. KeADILan semua maklum.

Di Melaka, PH meletakkan Sdr Adly sebagai calon Ketua Menteri. Adly bukan calang-calang. Rekod Adly sebagai KM dikagumi tetapi tetap gagal meraih sokongan pengundi.

Kedua-dua keputusan pilihan raya Melaka dan Sarawak adalah petunjuk kepada PRU15 nanti. PH semakin suram, tetapi Warisan melebar pengaruh ke Semenanjung.
Warisan dilihat suatu kuasa baru menentang BN pimpinan Umno. Ya, aku secara peribadi nampak tetapi pandangan aku mudah.

Hebatnya gerakan dan pengaruh Warisan sekarang juga atas “ihsan” atau “laluan” dari Umno.
Umno sejak dulu memang terkenal dengan kelicikan demi kuasa. Umno bukan hebat sokongan tetapi licik memperdaya musuh.

Musuh dijadikan kawan yang akhirnya ditewaskan semasa lalai dan asyik dengan kelicikan Umno. Untuk Umno berkuasa, musuh Umno perlu dipecahkan. Pecah sepecah-pecahnya. Dengan pecahnya lawan Umno, Umno akan menang.

Selepas PRU14, Umno tewas teruk. Tetapi dalam tempoh itu mereka merancang memecahkan PH sehingga tumbang. Diangkat Mahiaddin bukan kerana suka dengan Mahiaddin tetapi itu juga untuk kepentingan Umno. Akhirnya Mahiaddin dijatuhkan dan Umno kembali berkuasa.

PRU15, untuk kekal berkuasa, Umno hanya perlu kekalkan sokongan ahlinya sedia ada. Dalam masa yang sama, musuh Umno perlu dipecahkan. Biar pertandingan 5 penjuru yang akhirnya Umno akan menang walau pun 1 undi.

Keputusan di Melaka jelas. Penyokong Umno kekal dengan Umno tetapi yang bukan Umno berpecah bersepai yang akhirnya Umno sapu selesa.

Warisan diberi “laluan” melebar ke Semenanjung untuk pecahkan lagi musuh Umno. Sudahlah PH tidak dilihat sepakat walau pun sebumbung, ditambah dengan Pejuang, Warisan, Muda dan Bersatu serta Pas. Umno boleh selesa tepuk tangan.

Warisan merasa Presidennya boleh jadi PM kerana sekarang ada konco-konco Umno yang menyelinap kononnya memberi sokongan. Azmin konon nak sokong Shafie, Zuraida nak sokong Shafie, beberapa pimpinan Umno dalam kem tertentu nak sokong Shafie. Wah… Shafie boleh jadi PM. Hebat Warisan sekarang. Kita lebarkan pengaruh kita. Pecahkan parti kawan. Ambil ahli dan penyokong DAP yang kecewa dengan keputusan parti. Ambil ahli dan penyokong KeADILan yang dah menyampah dengan sosok tertentu.

Kawan lemah, dia pun tak kuat

Umno berlakon bergaduh sesama mereka. Kem Zahid, Kem Tok Mat, Kem KJ, Kem Hisham dan kem-kem lain dilihat dan dilakonkan supaya bersengketa supaya musuh merasa selesa tetapi hakikatnya “keretakan” dan “pergaduhan” mereka hanya wayang melalaikan musuh.

Anwar dilalaikan sehingga umumkan strong, formidable and convincing hingga Ismail Sabri jadi PM. Berkocak PH kerana Anwar lalai dengan sokongan palsu Umno.

Sehingga sekarang musuh-musuh Umno berpecah tidak bersama. Tidak mustahil jika di Melaka Umno sapu 2/3, di Persekutuan selepas PRU15 juga Umno sapu 2/3.

Ini pandangan peribadi aku daripada pengamatan aku sebagai orang biasa bukan hebat macam pimpinan di atas yang serba tahu. Mereka pimpinan, mereka tahulah apa mereka buat. Berapa lama dah mereka dalam politik. Takkan depa bodoh.

Cerdik depa la kita jadi macam ni tak sudah.