Sehari dua ini beredar video tok imam mendera seorang pencuri tabung masjid. Tak apa lah tangkap dia sebab mencuri. Nak hukum sikit-sikit ok lah sebagai pengajaran. Lebih teruk mana prinsip penegakan hukum Islam.
Sebelum ditegakkan hukum, sudah dipermalukan. Video disebarkan. Takkan tok imam tak faham. Ini bukan kali pertama berlaku penderaan kepada pencuri tabung masjid.
Kalau dalam kuliah bukan main hebat menceritakan kehebatan, keadilan hukum Islam. Bagaimana bukan Islam nak yakin dengan keadilan Islam, belum apa lagi dah dihukum tok imam dan kariah masjid.
Mana tidaknya, ustaz yang dijemput bagi kuliah, tak habis-habis gambarkan hukum Islam itu potong tangan. Kalau tak potong tangan maka ianya tak cukup Islam. Kalau tak laksana hudud, negeri tak aman kata ustaz. Siapa ajar Ustaz?
Boleh ustaz cari koleksi hadis Nabi Muhammad, ada sahabat potong tangan pencuri? Jangan kata potong tangan, nak hukum pasangan zina pun dengan pengakuan penzina itu sendiri. Bukan dari skodeng dan tajassus.
Datang penzina mengaku depan Nabi pun Nabi suruh balik. Tak cukup dengan itu kata Nabi: Apakah kamu gila Kalau tok imam bani Melayu dah pasti habis dengan anggota media, polis depa usung dan permalukan. Silap-silap video zina itu disebarkan oleh penguatkuasa sekali.
Nabi tak pernah suruh potong tangan, sebat. Lafaz hudud dalam Quran tak merujuk soal Jinayah (Uqubat). Ia menyentuh hukum dan ketetapan nikah, kahwin dan penceraian. Apa yang dituntut dalam pemerintahan Islam, itulah berlaku adil. Sebab apa? Kerana ia lebih dekat dengan taqwa. “Berlaku adillah karena adil itu lebih dekat pada taqwa”.
Prinsip undang-undang dan hukum dalam Islam itu adalah adil. Kalau banding mahkamah syariah di Malaysia, pendakwaan dia atas dasar skodeng dan tajassus manakala mahkamah US, seperti hakim Frank Caprio di Providence, Rhode Island yang melebihkan belas ihsan dan pengampunan.
Keadilan Hakim Frank Caprio itu lebih dituntut dalam Islam berbanding hakim mahkamah syariah yang melakukan hukuman sebat tanpa pembuktian yang dituntut dalam Islam.
Kisah Khalifah Umar dengan pencuri unta
Bila dengar yang ditahan mencuri itu mahu gunakan duit untuk membeli ubat, sepatutnya kariah masjid, tok imam pastikan dulu kebenaran, baru hukum. Zaman pemerintahan Islam Khalifah Umar Al-Farouq pernah dihadapkan seorang pencuri unta milik bani Muzainah dihadapan Saidina Umar.
Lalu Saidina Umar bertanya kepada pencuri tersebut. ‘Mengapa kamu mencuri?’. Jawab pencuri itu ‘kami kelaparan’. Lalu bertanya Saidina Umar kepada hadirin: Siapakah majikan mereka?
Lalu diberitahu, majikan mereka adalah Hathib bin Abi Balta’ah. Akhirnya Hathib dibawa ke majlis perbicaraan.
Bertanya Saidina Umar kepada Hathib: Benarkah kamu membiarkan mereka kelaparan? Akhirnya Hathib mengakuinya. Kata saidina Umar: Aku hampir hampir tersalah dalam menghukum. Kata saidina Umar ‘ke mana hilangnya sifat rahmah kamu wahai Hathib?’.
Lalu Saidina Umar membacakan ayat 173 dari surah Al-Baqarah: Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (Surah Al-Baqarah: Ayat 173).
Sebab dalam kaedah Fiqh disebut yang diambil dari ayat Quran di atas adalah dalam keadaaan darurat membenarkankan yang dilarang.
Selepas itu Khalifah Umar bertanya kepada tuan unta, berapakah nilai unta yang dicuri. Jawab tuan unta itu 400 Dirham. Lalu Saidina Umar memerintahkan Hathib membayar 2 kali ganda dengan nilai 800 Dirham. Ketika itu pencuri ketakutan menantikan hukuman yang bakal mereka terima, sudah tentu nilainya layak mereka dilaksanakan had (potong tangan) ke atas mereka.
Akhirnya Saidina Umar membebaskan mereka atas sebab adanya unsur syubhah. Apa yang dilakukan Khalifah Umar, seperti mana kata Sheikh Said Ramadhan Bhuti menyentuh soal Uqubat (hukuman dalam Hudud) dengan sabda Nabi: Tolaklah (Qhadi/ hakim) pensabitan hukum hudud dari muslimin semampu kamu.
Undang-undang dua darjat
Ini masalahnya. Pencuri tabung masjid dihukum, dibelasah dan dipermalukan, pencuri duit Tabung Haji disanjung. Lagi teruk ada panggil Bossku. Lebih memalukan hari ini ada penyamun dan penyangak masih mendapat kesitimewaan iringan juru iring pihak polis biarpun disahkan bersalah seleweng hak rakyat.
Nabi tak pernah potong tangan pencuri. Tapi pernah berikan ancaman memotong tangan anaknya Fatimah. Apa yang ditujukkan Nabi adalah prinsip adil. Apa yang difahami taliban dan lebai seperti Pas tentang potong tangan, agaknya inilah dimaksudkan Nabi lebih seribu tahun dulu dalam khutbahnya.
Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, sungguhnya aku sendiri yang akan memotong tangannya. Kata Nabi antara kerosakan kaum terdahulu, bila yang kaya, yang berpangkat terlepas dari hukuman. Manakalah mereka yang lemah dihukum. Seraya bangun Nabi dari tempat duduknya dan berkata:
Wahai sekalian manusia, bahawasanya yang membinasakan orang-orang sebelum kalian adalah, ketika orang-orang besar dari mereka mencuri, mereka membiarkannya (tidak menghukum), sementara jika orang-orang yang rendah dari mereka mencuri, mereka menegakkan hukuman had.