25 peratus pencarum KWSP takkan mampu bertahan lebih 40 hari selepas bersara?

Oleh NASUHA RAHMAN

Bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, rakyat terbanyak mula merasakan bahang kewangan yang semakin membimbangkan. Tempoh kawalan pergerakan penuh yang dipraktikkan di Malaysia ini adalah yang paling lama di rantau ini (90-120 hari). Ini telah menjadikan kebanyakan sektor ekonomi ditutup secara total. Bermula pada titik ini, ekonomi rakyat makin terdesak.

Kesusahan dan kekangan kewangan rakyat inilah akhirnya membawa kepada inisiatif untuk pengeluaran simpanan daripada KWSP mereka. Hasratnya bagi menampung kesusahan rakyat. Mengapa Hasrat ini timbul? Tidak lain kerana kerajaan pada waktu itu ‘kedekut’ untuk menyuntik bantuan langsung kepada rakyat. Sedangkan rakyat amat terdesak dan tidak mampu lagi untuk ‘survive’.

Kalau kita lihat secara permukaan, inisiatif ini baik kepada rakyat terbanyak. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang ditanggung dan membantu mereka memulakan kehidupan selepas bencana ‘PKP’ yang ditanggung selama lebih 3 bulan.

Tetapi kita harus rasional dengan inisiatif yang kelihatan murni ini. Kerana ianya akan mengakibatkan lebih ramai lagi dalam kalangan rakyat Malaysia yang bakal ‘miskin’ pada usia bersara.

Mari kita buktikan:

Sehingga bulan Oktober tahun lalu, sebanyak 3.6 juta mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000. Maknanya, mereka akan menjadi lebih rentan dan tanpa perlindungan persaraan. Kejatuhan dalam jumlah simpanan ini ternyata lebih menggalaukan untuk kumpulan Bumiputera, melihatkan sebanyak 78 % telah memohon untuk fasiliti pengeluaran tersebut.

Jadi, apakah akibat yang paling besar perlu ditanggung oleh pencarum Bumiputera?

Sebanyak 4.4 juta Bumiputera hari ini mempunyai simpanan KWSP kurang daripada RM 10 ribu atau 54 peratus daripada pencarum bumiputera tidak boleh ‘survive’ melebihi setahun selepas mereka bersara nanti. Bahkan yang paling kritikal, 25% daripada mereka mempunyai simpanan kurang daripada RM 1,000. Dalam kata lain, mereka tak akan mampu pun untuk bertahan lebih 40 hari selepas bersara. Keadaan ini akhirnya bakal menempatkan mereka berada dalam situasi serius di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

Akibat-akibat ini akhirnya nanti akan menambah kudis pada luka yang sedia ada. Rakyat sudah tenat dan berada pada keadaan nyawa-nyawa ikan. Keadaan ini akhirnya bakal menempatkan mereka berada dalam situasi serius di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.
Adakah rakyat akan berterusan jatuh ditimpa tangga?

Sebenarnya, yang perlu memainkan peranan utama Ketika PKP dilaksanakan selama 3 bulan tempoh hari, adalah kerajaan itu sendiri. Seharusnya kawalan pergerakan penuh turut disertai dengan insentif bantuan langsung kepada rakyat bagi mengelakkan berlakunya keterdesakan dalam kalangan mereka. Tapi sayangnya, kerajaan waktu itu terlalu kedekut.

Hanya megah berbelanja RM 150 bilion kononnya. Padahal hanya RM 10 bilion sahaja bantuan langsung yang dibelanjakan kepada rakyat. Sudahlah peruntukannya kecil bahkan lewat. Sepatutnya pada waktu itu, kerajaan boleh untuk memberikan subsidi upah kepada majikan sehingga RM 900 bagi mengelakkan para pekerja dibuang. Ini bagi mengelakkan para majikan daripada memberi alasan bahawa tiada keupayaan untuk terus membiayai upah pekerja mereka.

Kedua, memperkenalkan dan meningkatkan insentif bantuan langsung kepada rakyat yang tiada simpanan di KWSP. Golongan ini boleh dikategorikan seperti watak ‘Mak Cik Kiah’ yang hanya menjual pisang goreng di tepi jalan. Kerajaan mampu untuk memberikan bantuan langsung sebanyak RM 1,000 dalam tempoh 4 bulan. Insentif ini mampu memberikan nafas baharu kepada orang-orang seperti mak cik Kiah untuk meneruskan hidup.

Seterusnya, untuk golongan B40 dan M40, kerajaan boleh untuk memberikan insentif yang lebih bermaruah kepada mereka. Kerajaan ada keupayaan untuk memberikan bantuan langsung RM 1000 selama 4 bulan secara berturut-turut. Bantuan ini mampu melegakan nafas golongan ini sementelahan berdepan dengan kegawatan ekonomi semasa.

Ketiga-tiga inisiatif ini hanya menelan RM 50 bilion sahaja dan kerajaan tentunya mampu berbelanja untuk ini. Dalam keadaan bencana seperti pandemic covid ini, sewajibnya kerajaan berbelanja lebih.

Tapi apakan daya, pada tahun 2020-2021 kerajaan lebih memilih untuk mengunci kocek. Justeru, kita jangan pelik kalau adanya kempen kibar bendera putih waktu itu. Rakyat kebanyakan sudah tertekan dan hanya rakyat sahaja yang bantu rakyat waktu itu.

Apa yang diperlukan adalah keiltizaman daripada kerajaan untuk membantu rakyat. Keiltizaman ini boleh diukur dengan pembikinan polisi yang meyakinkan lagi mesra rakyat. Yang lebih utama adalah memperakui bahawa rakyat sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah rakyat sedang susah waktu sekarang, di kemudian hari pun mereka bakal berdepan keterdesakan. Amat malang.

 

Penulis adalah pimpinan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya