Wang royalti RM400 juta bakal jadi isu dalam pilihan raya nanti?

Oleh KIM SYAZIE

Kita yakin dan percaya apa disarankan Husam Musa kepada kerajaan Kelantan agar menguar-uarkan atau memaklumkan ke mana peruntukan royalti petroleum bernilai RM400 juta digunakan yang telah disalurkan oleh kerajaan Persekutuan.

Semua rakyat negeri Kelantan sedang menunggunya penuh sabar khasnya mereka yang berada di luar Kelantan yang sudah mengesan akan kedahagaan rakyat Kelantan untuk mengecapi nikmat royalti itu.

Tentu sekali Husam sendiri orang yang bertanggungjawab mengerak dan memperjuangkan tuntutan royalti itu sangat ingin melihat dan mengetahui ke mana wang petroleum dimanfaatkan oleh kerajaan untuk rakyat.

Bertahun bekas Exco Kewangan, Perkhidmatan Awam dan Kebajikan Kelantan itu berusaha menuntut hak rakyat Kelantan dengan menubuhkan Ngo khas “R” untuk memperjuang dan menuntut royalti.

Penubuhan Ngo “R” yang khusus berjuang untuk mendapat royalti dengan pelbagai cara termasuk menyediakan bukti bagi menyakinkan pihak Kuala Lumpur yang Kelantan berhak mendapat royalti yang dinafikan secara taktikal.

Sejajar itu juga R bergerak menjelajah ke seluruh negara khasnya di negeri-negeri ikut mendapat 5 peratus pengeluaran minyak bagi menekan Petronas. Ia berakhir dengan kerajaan Kelantan mengheret Petronas (kerajaan Persekutuan) ke mahkamah.

Tindakan ini dikira tindakan radikal yang tidak pernah terfikir oleh banyak orang, tetapi ia berlaku atas inisiatif Husam dan R. Di sinilah menunjukkan kebiasaan pandangan jauh politikal Husam.

Hasil usaha dan gerakan yang dipelopori Husam itu akhir hak mutlak rakyat Kelantan yang dinafikan berdekad, berjaya diperoleh tanpa mengesyorkan agar saman di mahkamah terhadap kerajaan Persekutuan ditarik balik.

Ketika persetujuan membayar royalti minyak itu dicapai semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH), Husam sudah tidak berada dalam kerajaan negeri. Justeru beliau tidak dapat memberi pandangan apakah saman ke atas Petronas itu perlu ditarik balik atau tidak.

Bagaimana pun kerajaan Kelantan selepas menerima pemberian itu bersetuju untuk menarik balik saman berkenaan. Ternyata penarikan balik saman itu telah memerangkap kerajaan Kelantan kini apabila Menteri Kewangan Tengku Zafrul mengumumkan pemberian royalti diganti dengan pemberian wang ehsan.

Seperti mana diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam suatu majlis di Kota Bharu kelmarin, dalam tempoh 2001-2002, sebanyak RM400 juta wang royalti petroleum telah disalurkan kepada kerajaan Kelantan.

Dalam kata lain rakyat Kelantan sepatutnya sudah dapat mengecapi duit royalti yang dikeluarkan dari bumi lautan Kelantan.

Malangnya, sesudah tiga tahun peruntukan itu disalurkan pihak kerajaan Kelantan tidak pernah mengumumkan apa lagi memperincikan ke mana wang itu dilaburkan untuk kepentingan rakyat menyebabkan timbul tanda tanya kepada rakyat.

Rakyat tidak pernah tahu di mana dan untuk apa wang itu dibelanjakan. Ada setengah pemimpin Pas cuba mengaburi mata rakyat dengan mengatakan wang itu digunakan untuk pembesaran lapangan terbang Sultan Ismail Petra dan juga pembinaan lebuh raya.

Tetapi bagi rakyat yang cerdik tahu, peruntukan untuk projek itu tidak membabitkan wang royalti.

Padahal seperti kata Husam wang itu sangat bermanfaat untuk membantu rakyat Kelantan yang daif, memberi kelegaan kepada fakir miskin, para pelajar dan asnaf yang sepatutnya menerimanya.

Misalnya untuk pelajar sepatutnya wang itu diperuntukan khas untuk memberi biasiswa atau pinjaman kepada pelajar Kelantan daif yang sedang menuntut di institusi tinggi baik dalam dan luar negara.

Pelajar dari Timur Tengah yang pergi belajar dengan perbelanjaan sendiri pulang bercuti beberapa tahun sekali seharusnya tidak lagi menadah kopiah dan serban untuk bayar yuran atau membeli tiket tetapi cukup dengan wang royalti tersebut.

Kita tidak menuduh wang itu hanya digunakan untuk kesenangan anggota kerajaan semata-mata, atau sebilangan individu tertentu dengan hanya memberi contoh pembelian Mercedes sebanyak 14 buah untuk kegunaan MB, TMB dan Exco kerana peruntukan untuk menyediakan kenderaan itu hanya berapa sen sahaja.

Lebihannya masih banyak lagi. Husam seperti kesal dan terkilan dengan cara wang itu diuruskan. Cara kerajaan Kelantan mendiamkan untuk tidak menguar-uarkan wang itu, disifatkan Husam sebagai umpama tikus jatuh ke beras.

Maksudnya kerajaan Kelantan seolah-olah jadi bisu dan hilang kata-kata atau tidak ada niat untuk memberitahu kepada rakyat, ke mana wang itu dibelanjakan. Sikap ini menyebabkan orang boleh menuduh kerajaan makan seorang wang tersebut.

Tanpa menuduh wang itu disalah gunakan, Husam dalam hantaran status Facebook menyebut, ia perlu diperincikan untuk pengetahuan rakyat umum kerana perjuangan untuk mendapatkan royalti itu membabitkan seluruh rakyat marhaen di Kelantan.

Bukan itu sahaja, dengan memaklumkan kepada umum ia menunjukkan sikap telus kerajaan Kelantan sesuai dengan ia didoktrinkan sebagai kerajaan Islam.

Memang ia sesuatu yang mengecewakan apabila saat wang diperolehi, rakyat bukan sahaja tidak mengecapinya malahan tidak diketahui ke mana wang itu dilaburkan.

Pejuang royalti hanya menggigit jari. Kalau pun kerajaan ada membuat simpanan tetap terhadap wang itu kerana ingin mengutip dividennya, jelaslah biar telus dan rakyat tahu duduk perkaranya.

Apalah “rohok” sangatkah untuk Ahmad Yaakob sebagai MB hendak menyebut ke mana wang itu dilaburkan. Apakah ia disimpan dalam bank sebagai simpanan tetap dan mengharapkan hibah atau pun dividen tahunan Kalau ia begitu ceritalah rakyat hendak tahu.

Husam yang boleh dianggapkan orang yang bertanggungjawab atau pahlawan berjuang untuk memperolehi hak itu sudahlah tidak diberitahu mengenainya secara lisan serta berterima kasih, atas usahanya memperjuangkan royalti.

Kita percaya beliau tidak pun mengharapkan sanjungan itu tetapi baginya cukup kalau dapat membaca senarai peruntukan daripada wang itu disalurkan kepada rakyat menerusi bidang-bidang tertentu.

“Jangan jadi lembu kenyang”, kata Husam menyindir sikap kerajaan Kelantan berhubung wang RM400 juta itu yang masih membisu mengenai wang berkenaan.

Rakyat Kelantan yang menyedari realiti ini dan menunggu nikmat wang royalti yang mereka perjuangkan selama ini, kecewa dengan sikap ini dan tetap menunggu butiran terperinci daripada kerajaan Kelantan. Kerajaan Kelantan khasnya Ahmad Yakob jangan pandang dingin perkara ini.

Dibimbangi kalau kerajaan Kelantan terus jadi lembu kenyang, tidak mustahil rakyat Kelantan akan hilang kepercayaan kepada kerajaan Kelantan yang kini sudah jelas kegagalan dan kelemahannya dalam aspek pengurusan dan pentadbiran terutamanya mengenai air dan alam sekitar.

Kerajaan Kelantan selepas peninggalan Tokguru Nik Aziz “berkucar lembel”.

Kerajaaan Kelantan khasnya Pas, perlu bersikap aktif lebih telus dan jujur terhadap saranan dan gesaan Husam itu kalau mereka tidak mahu dihukum rakyat dalam pilihan raya umum nanti.

Kita yakin dalam pilihan raya akan datang ia dijadikan isu, bukan lagi isu menuntut royalti diberikan, tetapi mendesak ke mana wang RM400 juta diberikan itu dibelanjakan.

Kegagalan kerajaan Kelantan memperincikan kegunaan wang berkenaan boleh menyebabkan rakyat mengesyaki kerajaan Kelantan menyalahgunakan wang royalti tersebut