Mengapa Azam Baki enggan hadir berdepan dengan Jawatankuasa Parlimen?

Oleh ARIF ATAN

Sejak awal lagi, sebagaimana kita semua sedia maklum, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki memang sentiasa mempertahankan dirinya tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam kontroversi saham yang dikaitkan dengannya.

Beliau bukan saja telah memulakan tindakan undang-undang terhadap seorang pemberi maklumat, malah pernah mengatakan memiliki semua dokumen untuk mengesahkan dirinya tidak bersalah itu. Beliau juga menolak untuk mengambil cuti sementara siasatan dijalankan terhadapnya.

“Saya ada semua dokumen, saya akan lawan,” katanya dipetik sebagai berkata.

Oleh itu, keenganan Azam untuk hadir apabila dipanggil memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Parlimen Rabu ini adalah suatu tindakan menghairankan dan bertentangan dengan apa yang disebutnya itu.

Menggunakan alasan undang-undang dan sub judice sebagai faktor keengganannya hadir itu, malah sama sekali tidak mampu membersihkan dirinya pada tanggapan umum daripada kesalahan yang dikaitkan dengannya.

Berikutan keengganannya hadir itu, Jawatankuasa Parlimen sendiri menangguhkan mesyuaratnya pada Rabu ini untuk mereka mendapatkan nasihat perundangan terlebih dahulu berkenaan isu yang dibangkitkan oleh Azam.

Isunya, kenapa Azam menolak untuk hadir berdepan dengan Jawatankuasa Parlimen?

Sepatutnya beliau menggunakan peluang memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Parlimen itu untuk membersihkan dirinya dan menjawab segala soalan yang ditanya dengan penuh keyakinan.

Daripada sudut positif, Azam seharusnya melihat panggilan hadir oleh Jawatankuasa Parlimen itu sebagai peluang keemasan untuknya mengesahkan dirinya memang betul-betul tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam kontroversi saham itu.

Sekurang-kurangnya juga dengan tindakan demikian dapat sama memperlihatkan kepada umum bahawa dirinya sendiri tidak takut berdepan kebenaran.

Tetapi, belum apa-apa lagi Azam nampaknya sudah seperti ada ketakutan dalam dirinya. Kenapa mesti takut jika tidak salah?

Bukankah pepatah ada menyebut – berani kerana benar, takut kerana salah?