Speaker DUN Johor masih tunggu surat bubar Dewan

Oleh KIM SYAZIE

Selepas mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Speaker DUN, Suhaizan Kaiat berkata, beliau masih menanti surat pembubaran.

Ketika dihubungi, Suhaizan memaklumkan mengikut perlembagaan, surat tersebut akan dihantar kepada pihaknya sejurus sahaja perkenan Baginda Sultan Johor petang tadi.

“Setakat petang ini surat masih belum diperolehi oleh pihak kami dan mengikut perlembagaan seperti yang yang kita maklum, DUN Johor memang sudah pun terbubar selepas perkenan Tuanku Sultan Johor.

“Kita akan maklumkan kepada SPR (Suruhanjaya Pilihanraya) berkenaan dengan pembubaran tersebut dan mereka akan menetapkan tarikh dalam masa 60 hari untuk mengadakan Pilihanraya (PRN).

“Kita akan patuh kerana ia adalah perkenan dari Tuanku Sultan Johor dan itu adalah hak baginda atas nasihat Menteri Besar (MB) Johor,” jelasnya.

Sultan Johor hari ini berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut kenyataan di Facebook, Baginda tuanku Sultan telah berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada hari ini sebelum memberi perkenan.

Pada pertemuan bersama Baginda Tuanku Sultan, Datuk Hasni turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran Dewan Negeri Johor.

Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022.