Anak sukar dengar cakap diberi minum air basuhan wuduk ibu?

Oleh ARIF ATAN

Ramai ibu bapa risau anak yang degil atau tidak mahu dengar cakap. Mereka berjumpa agamawan untuk mencari solusinya, padahal solusinya ada pada diri ibu bapa itu sendiri.

Seorang agamawan memberi petua supaya anak itu diberi minum air basuhan wuduk ibu, iaitu air basuhan muka dan tangan kanan kali kedua yang disertai bacaan selawat. Tak pasti petua ini berdasarkan pengalaman atau apa. Cuma agak pelik dan janggal.

Bagi saya petua itu tidak relevan dengan masalah yang dihadapi dan kurang sesuai untuk diikuti. Hal ini kerana, “kedegilan” anak-anak ada kaitan langsung dengan proses pendidikan khususnya di rumah.

Di sini, ada beberapa saranan saya untuk ibu bapa berdasarkan pengalaman. Boleh jadi sesuai dan boleh jadi tidak.

Hal ini tidak bermakna saya telah berjaya menjadi bapa terbaik dan bukan juga bermakna anak-anak saya semuanya baik macam malaikat. Bukan itu maksudnya. Tapi sekadar berkongsi pengalaman.

1. Kawal makanan anak-anak. Elakkan beri mereka makan jajan dan makanan yang banyak garam dan gula. Makanan sebegitu memberikan mereka tenaga fizikal untuk jadi “buas”.

2. Sering berinteraksi dan berkomunikasi dengan mereka. Berbual, bertanya, bermain bersama dan bergurau dengan gurauan yang baik.

3. Ibu dan bapa berkomunikasi sesama sendiri dengan lembut terutama di hadapan anak-anak. Sentiasa tampilkan kehidupan kasih sayang di hadapan mereka sesama anggota keluarga.

4. Buat aktiviti yang mendorong anak-anak banyak menggunakan otak selain aktiviti fizikal seperti bermain catur, dam atau sebagainya. Aktifkan keupayaan mental mereka.

5. Kurangkan aktiviti menonton TV atau video terutama filem-filem yang ada aksi ganas dan tidak senonoh. Pilih rancangan yang ada unsur pengayaan bahasa dan komunikasi positif.

6. Kawal kebebasan penggunaan gajet untuk anak-anak. Cari jalan supaya mereka lebih minat berkepit dengan buku berbanding hal-hal lain terutama gajet.

7. Wujudkan suasana ilmu di rumah. Letakkan buku di sana-sini. Ibu bapa sendiri perlu kelihatan banyak membaca buku untuk mendorong anak-anak melakukan hal yang sama.

Tidak ada sesiapa yang boleh mengaku dirinya ibu bapa terbaik. Tidak ada insan sempurna, namun kita berusaha untuk menjadi yang terbaik sedaya upaya kita.

Hakikatnya, kita tidak perlu meminta anak-anak mendengar semua cakap kita. Fokus kita seharusnya memberi peluang kepada anak-anak melihat apa yang kita lakukan. Biarlah anak-anak meniru tindakan kita, bukan hanya mendengar cakap kita.

Perlakuan ibu bapa lebih berkesan dalam proses pembentukan peribadi anak-anak berbanding cakap-cakap mereka. Semoga perkongsian ini bermanfaat. Maaf.