Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin menyifatkan Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang yang mengumumkan keluar daripada parti itu sebagai tidak mempunyai maruah.
Menurut beliau, tindakan Mazlan itu bahkan tidak memberi apa-apa kesan kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sudah pun dibubarkan.
“Mana maruah dia, mengapa dia bersikap begitu dan baru sekarang hendak cakap soal itu ini. Boleh jadi dia sudah tahu tidak akan menjadi calon mungkin. Dia nak masuk Umno? Dia fikir Umno akan calonkan dia?
“Bagi saya apa yang dia buat sudah tidak penting kerana kalau dia keluar lebih awal sebelum DUN terbubar, ia cerita lain. Sekarang ini sudah tidak jadi apa-apa dan hanya tinggal sejarah sahaja.
“Dia nak keluar dan bawa dua orang (ADUN)? Kenapa tidak 200,000 orang?” kata bekas Perdana Menteri itu lagi.
Dengan serangan Mahiaddin atas tindakan Mazlan itu, yang dijelas di mata beliau, mereka yang meninggalkan wadah perjuangan sedia ada adalah mereka yang tidak bermaruah.
Tetapi, apakah ini bermakna sekian ramai pelompat parti daripada Umno yang sekarang berada dalam Bersatu turut sama tidak bermaruah? Adakah Bersatu sendiri yang menerima pelompat-pelompat tersebut juga tidak mempunyai maruah?
Selain itu, apakah Mahiddin sendiri yang meninggalkan PH dan membentuk kerajaan PN tanpa proses pilihan raya ada memiliki maruah?
Mazlan sajakah yang tiada maruah atau semua mereka itu sama-sama tiada maruah?