Apa relevannya Pas pada saat ini?

Oleh BORHAN AHMAD

Akar bagi pemikiran gerakan Islam adalah penubuhan negara Islam.

Konsep negara Islam adalah ijtihad, bukan hukum yang Qatie.
Dengan sebab itu, pelbagai definisi negara Islam yang diberikan oleh ulama muktabar.

Ada kata, negara Islam adalah negara yang terlaksana undang-undang Islam.

Dalam erti kata yang lain, mana-mana negara yang tidak terlaksana undang-undang Islam, maka negara itu adalah negara kufur.

Kalau dilihat dari definisi ini, hampir tidak ada negara Islam dalam dunia pada hari ini, bahkan Saudi pun sedang menuju ke arah negara kufur.

Ada pula mendefinisikan, negara Islam adalah negara yang diperintah oleh orang Islam.

Kalau definisi ini yang digunakan, bermakna Malaysia sudah menjadi negara Islam; Indonesia sudah menjadi negara Islam; banyak negara-negara Arab, walaupun kadar rasuah tinggi, juga adalah negara Islam.

Kalau dilihat dari sudut definisi ini, perjuangan gerakan Islam dalam beberapa buah negara termasuk Malaysia sudah tidak relevan.

Namun mereka mungkin berhujah bahawa keperluan melaksanakan undang-undang Islam, dengan merujuk kepada definisi pertama di atas.

Jika itu hujah mereka, perjuangan Pas sudah menjadi tidak relevan kerana pada saat ini Pas berada dalam kerajaan. Apa yang pasti, tidak ada usaha untuk melaksanakan undang-undang Islam seperti yang mereka dakwa sebelum ini.

Kalau PAS sudah tidak mahu memperjuangkan undang-undang Islam, ini bermakna Pas sudah tidak jauh beza dengan perjuangan liberal dalam definisi yang dikemukakan oleh Pas.

Cumanya, Pas adalah golongan liberal yang tidak memperjuangkan accountability, transparency dan kredibiliti dalam pentadbiran.

Maka dengan sebab itu, Pas tidak berusaha untuk menyelamatkan alam sekitar, walaupun penjagaan alam sekitar adalah tuntutan agama Islam; Pas tidak berusaha untuk melawan rasuah, walaupun rasuah merupakan salah satu dosa-dosa besar.

Justeru apa relevannya Pas pada saat ini?