Kematian Rayan berpunca dari patah tulang, cedera otak, paru-paru

Oleh KIM SYAZIE

Tragedi menimpa kanak-kanak berusia lima tahun, Rayan yang dilapor meninggal tengah malam tadi, menarik perhatian warganet seluruh dunia yang selama ini mendoakan keselamatan buat kanak-kanak tersebut.

Menurut laporan media Maghribi seperti dipetik SinarPlus, doktor yang berada di tempat kejadian memaklumkan pemeriksaan awal mendapati Rayan mengalami pelbagai kepatahan tulang.

Selain itu, Rayan juga didapati mengalami kecederaan otak dan paru-paru selain beberapa tulang patah.

Menerusi ‘hashtag’ #SaveRayan, warganet seluruh dunia yang mengikuti perkembangan usaha menyelamat Rayan mendoakan anak kecil itu. Tidak kurang pula yang meluahkan hiba dan pilu.

Rayan dilaporkan terjatuh ke dalam perigi sempit sedalam 32 meter selama 100 jam sejak Selasa lalu (1 Februari) dan berjaya dibawa keluar kira-kira jam 12.34 tengah malam, (6 Februari).

Sepanjang tempoh lima hari terperangkap, pasukan penyelamat telah berusaha menyalurkan oksigen, makanan dan air kepadanya tetapi tidak jelas sama ada bantuan berkenaan digunakan.

Pada jam 12.49 pagi, Rayan sedang dibawa ke hospital tetapi belum ada maklumat rasmi mengenai keadaannya.

Tepat jam 12:55 pagi, Mahkamah Diraja Maghribi mengesahkan Rayan berusia lima tahun yang dipindahkan dari perigi itu sudah meninggal dunia.

Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu dan Pemerintah Dubai menulis di Twitter mengucapkan takziah.