MUDA bertanding enam kerusi hasil kesepakatan AMANAH, DAP

Oleh ARIF ATAN

MUDA akan bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hasil kesepakatan dengan AMANAH dan DAP.

Kesemua kerusi terbabit ialah DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Keputusan itu telah dimuktamadkan selepas beberapa siri mesyuarat dan perbincangan pelbagai hala melibatkan AMANAH, DAP dan MUDA untuk tujuan pengagihan kerusi.

Menerusi kenyataan bersama ketiga-tiga parti tersebut hari ini, rundingan rasmi telah bersetuju dengan tiga matlamat utama.

Pertama, katanya, memastikan tidak ada pertindihan kerusi antara calon AMANAH,
DAP dan MUDA di setiap kawasan.

Kedua, menumpukan usaha dan tenaga kerja jentera AMANAH, DAP dan MUDA untuk memenangi setiap calon.

Ketiga, kata ketiga-tiga parti itu, bersama-sama menubuhkan kerajaan Negeri Johor demi
membantu rakyat mencapai impian mereka.

“Ini bermakna bagi menghadapi PRN Johor 2022, AMANAH, DAP dan MUDA bakal bergerak sebagai rakan strategik pilihan raya walaupun MUDA tidak menyertai Pakatan Harapan.

“Ini serasi dengan prinsip ‘khemah besar’ untuk menyatupadukan semua parti politik dan menggembleng tenaga yang bersedia melawan kerajaan BN/PN,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, pimpinan AMANAH, DAP dan MUDA percaya bahawa pakatan pilihan yang dijalin
menerusi rundingan tersebut akan membawa suara rakyat Johor dengan cemerlang selaras
dengan agenda Johor Bangkit.

Kesemua parti terbabit menegaskan PRN Johor adalah untuk masa depan rakyat dan
bukanlah perebutan kuasa dan jawatan.

Sementara itu, kenyataan sama memberitahu rundingan antara MUDA dan PKR sedang diteruskan demi kesepaduan menghadapi PRN Johor.

“Rakyat Johor berhak mendapat kepimpinan yang mahukan Johor Bangkit menjadi sebuah negeri yang maju, beramanah, bermaruah dan berintegriti,” kata kenyataan itu lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan hari penamaan calon pada 26 Februari manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

Seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor nanti.