Penternak ayam mendedahkan mereka kini tersepit malah ada yang menggulung tikar kerana kos makanan ayam meningkat berganda-ganda.
Taukeh ayam yang dikenali sebagai Yani Hardinata Hairuddin berkata, harga bahan mentah import meningkat mendadak kerana kelemahan ringgit sehingga kenaikan kos penghantaran antarabangsa, dan faktor bekalan harga jagung meningkat (meningkat lebih 100% pada tahun 2021).
“Harga kacang soya meningkat (meningkat lebih 30% pada 2021). Harga gandum meningkat. Semua ini, bahan-bahan yang menjadi kandungan utama dedak (lebih 80%) dan bahan-bahan ini diimport,” katanya.
Melalui Facebooknya Wak Akob, beliau berkata dedak ayam daging dihasilkan dengan tepat supaya ayam cukup nutrien, boleh membesar dengan maksima dan efisien dalam tempoh yang ditetapkan.
Dan yang paling penting, katanya dedak mestilah makanan yang ayam suka makan apatah lagi baka-baka ayam ini kebanyakannya baka-baka import seperti COBB, ROSS, Indian River.
“Mereka bukan makan jagung manis Cameron Highland, mereka makan jagung bijirin yang tidak ditanam secara meluas di Malaysia.
“Bahan-bahan ini, kita bukan import sikit-sikit di mana setahun, lebih 3.9 juta metrik tan jagung bijirin, lebih 1.4 juta metrik tan soya diimport,” dedah beliau.
Beliau berkata, apabila bahan-bahan mentah naik harga sekaligus harga dedak pasti akan meningkat, dari RM80 kepada RM120 untuk 50 kg (meningkat lebih 50%).
“Bila meningkat, kos ternakan meningkat dan macam biasa, logiknya, harga ayam meningkat dan itulah yang berlaku, sehingga 4 Disember 2021.
“Harga kawalan ditetapkan pada RM9.30 sekilogram, tanpa kawalan harga atau subsidi kepada dedak sebenarnya pengilang dedak, penternak dah lama menyerap kenaikan harga, supaya harga kepada pengguna tidak terlalu membebankan,”ujarnya lagi.
Bagaimapaun Yani berkata, apabila harga kawalan ditetapkan mereka bukan kurang untung tetapi rugi.
Oleh itu, katanya penternak terpaksa mengurangkan kemasukan ayam di ladang supaya kerugian dapat dikurangkan.
Beliau menolak adanya konspirasi atau agenda tertentu tetapi ianya tidak lebih untuk penternak meneruskan kelangsungan hidup.
“Penternak makin tersepit, dan ada yang dah gulung tikar. Bukan anak ayam tiada atau bermasalah,
“Tapi, siapa yang nak ternak ayam bila rugi? Selepas penternak, ramai peniaga dan pekerja dalam industri ini akan juga kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan,” katanya.
Beliau berharap akan ada titik tengah yang akan dicapai antara mereka dengan kerajaan supaya industri ini dapat kekal, dan dalam masa yang sama pengguna dapat membeli makanan asas dalam harga mampu milik.