Cakap biar berfakta, usah jadi kelapa mumbang mereput di tangkai

Oleh ARIF ATAN

Di Johor, Presiden Pas masih mengekalkan dakwaan bahawa AMANAH ditubuhkan oleh DAP. Namun semenjak dakwaan itu dibuat seawal enam tahun lalu sehingga ke hari ini, tidak pernah ada satu bukti yang dibawa untuk menyokongnya.

Presiden Pas perlu mengemukakan bukti atau dalam istilah agama, baiyinah, jika dia jujur. Kecuali dia hanya bercakap kosong sebab dia tahu, apa sahaja cakapnya, pengikutnya akan menerima patsagi-patsagi, bukan sekadar bulat-bulat.

Apatah lagi, Presiden Pas adalah ulama. Takkan ulama berdakwa sesuatu tanpa bukti. Takkan ulama tak tahu, pendakwa berkewajipan mengemukakan bukti mendahului kewajipan pihak terdakwa membawa bukti untuk menafikan dakwaan.

AMANAH bukan ditubuhkan oleh DAP, tapi ditubuhkan oleh bekas pemimpin Pas. Jika ditambah dakwaan bahawa DAP memberi bantuan kewangan, tentulah dakwaan itu lebih palsu berbanding dakwaan pertama tadi. Saya tahu, sebab saya juga antara orang kecil terawal yang terlibat dalam proses penubuhan AMANAH di pelbagai peringkat.

Jika dikata DAP “menyokong” penubuhan AMANAH, dakwaan itu mungkin ada benarnya. Sebab, antara fokus utama penubuhan AMANAH ialah menghidup dan mengukuhkan PR yang terkubur dek krisis antara Pas dan Dap. Tapi jika dikatakan DAP yang menubuhkan AMANAH, hal itu seperti mendakwa itik yang menelurkan telur ayam kerana telur ayam itu berwarna putih dan besar.

Abdul Hadi Awang Pas AMANAH
Abdul Hadi Awang

Sebagai ulama, Presiden Pas mesti bercakap dengan fakta, bukan sangka. Jika dakwaan sebegitu bertujuan memainkan sentimen perkauman melulu, elok berhenti. Perbuatan sebegitu akan menjahanamkan ummah. Cukuplah dengan laungan perpaduan ummah Pas yang boleh diibarat kelapa mumbang dimakan tupai. Tak gugur tapi mereput di tangkai.

Dulu, kami begitu hormat Presiden Pas sekurang-kurangnya sebagai orang tua dalam politik. Namun, selepas pendirian politik Pas di bawah pimpinan presiden sekarang dilihat sangat kluk-klek, penghormatan itu semakin pudar. Tambah memudar lagi apabila Presiden Pas bermain dengan dakwaan tanpa bukti seperti dakwaan AMANAH ditubuhkan oleh DAP.

Namun, penghormatan itu tidaklah hilang sepenuhnya, sekurang-kurang kami tetap hormat sebagai orang tua dalam usia. Dalam bab ilmu, setiap manusia diberi ilmu seorang sedikit. Semua orang ada habuan masing-masing dalam ilmu. Namun, penghormatan kerana ilmu tidak berlaku secara terasing dengan akhlak.

Kami hormat ilmuan yang berakhlak. Antara akhlak yang perlu dimiliki oleh ilmuan untuk melayakkan penghormatan ialah bercakap benar, bukan membuat dakwaan kosong.