Kit perjalanan dalam kereta wajib pemandu miliki

Oleh ARIF ATAN

Kes-kes kemalangan di lorong kecemasan terutama di lebuh raya begitu menyayat hati apatah lagi jika melibatkan kematian.

Kes-kes kemalangan parah juga kematian di jalan raya ini boleh dielak dengan beberapa tindakan proaktif juga reaktif yang boleh diambil pemandu, pengoperasi lebuhraya juga pengguna lebuhraya yang lain.

Antara yang dicadangkan ialah penggunaan telefon kecemasan yang terdapat di setiap beberapa kilometer di lebuhraya, menghubungi peronda lebuhraya, penggunaan ‘hazard light’ dan sebagainya.

Oleh itu, setiap pengguna lebuhraya perlu menyimpan nombor telefon peronda lebuhraya yang berkaitan juga segala maklumat yang perlu seperti khidmat lori tunda dan sebagainya.

Ketika Covid-19 apabila sekatan perjalanan antara negeri dikenakan, mungkin kes-kes kemalangan jalan raya dilihat berkurangan dari biasa.

Namun setelah sekatan perjalanan antara negeri dibuka, maka pengguna jalanraya terus bermaharajalela dengan pemanduan sikap pemandu Malaysia yang biasa.

Tahukah anda kadar kemalangan jalan raya di Malaysia menurut Bukit Aman sepanjang Covid-19 Ops bermula 8 Mac 2020 sehingga 13 Oktober 2021, terdapat 566,760 kemalangan yang dilaporkan dan 5,412 kes adalah kemalangan maut yang mengakibatkan kematian sebanyak 5,739 kes?

Sikap pemandu juga keadaan jalan, cuaca dan sebagainya adalah antara faktor-faktor berlaku kemalangan.

Akhir-akhir ini kes-kes pemandu pemandu mabuk, memandu arah menentang arus, kes buli jalan raya juga kes-kes kemalangan di lorong kecemasan adalah antara perkara yang serius yang perlu tindakan sama ada oleh penguatkuasaan undang-undang, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) , polis juga pemandu jalanraya amnya.Berkemungkinan hukuman, denda lebih berat mungkin berkesan untuk mengawal kes-kes sedemikian dari merebak menjadi satu kelaziman yang buruk dan menjadi barah satu masa akan datang.

Selain itu, penulis mencadangkan agar setiap kereta di Malaysia dilengkapi dengan kit perjalanan lebuh raya seperti yang perlu disediakan oleh pengguna lebuh raya yang mahu menggunakan lebuh raya di Eropah atau dikenali sebagai AA Kit Perjalanan.

Antara isi kandungan kit keselamatan tersebut ialah tanda segitiga amaran , jaket kuning, kit pertolongan cemas dan apa-apa peralatan lain yang difikirkan perlu dan sesuai dengan keadaan jalan dan cuaca di Malaysia seperti banjir kilat dan sebagainya.

Tanda segitiga amaran perlu diletakkan dalam jarak yang sesuai untuk menghalang pemandu lain yang tidak bertanggungjawab memasuki lorong kecemasan apabila tidak perlu, bagi memberi ruang penampan kepada kereta yang rosak di lorong tersebut.

Dengan ini pemandu lain tidak akan sewenang-wenangnya memasuki lorong kecemasan tersebut apabila melihat tanda segitiga amaran kecemasan tersebut.

Oleh itu, kemalangan di lorong kecemasan dapat dielakkan. Penggunaan kit perjalanan kereta ini secara umumnya memberi peluang kepada pengguna jalan raya yang mengalami kecemasan sama ada di jalan raya biasa, negeri, persekutuan juga di lebuh raya, untuk memperlihatkan situasi kecemasan mereka secara lebih jelas kepada pemandu yang lain.

Ini memberi ruang kepada pemandu lain untuk lebih berhati-hati dengan kenderaan yang rosak tersebut.Keadaan menjadi lebih buruk lagi jika cuaca buruk seperti hujan juga waktu malam, berkabus, samada ketika banyak kenderaan atau tidak banyak kenderaan yang menyukarkan bantuan .

Mungkin ada segelintir pihak yang menyarankan agar segera menghubungi pihak peronda lebuhraya agar datang segera menghantar bantuan, membawa kon kecemasan dan sebagainya.

Namun, kadang-kadang terdapat hal-hal yang tidak dapat dielakkan seperti tidak dapat menghubungi pihak peronda lebuhraya , telefon rosak , atau kerosakan berlaku di jalan biasa yang tiada peronda lebuhraya dan sebagainya, maka kit perjalanan yang memang telah tersedia di dalam kereta ini mungkin menjadi penyelamat nyawa.

Sementalahan itu penguatkuasaan juga rondaan lebih kerap oleh JPJ, polis juga peronda lebuhraya atau sistem pemantauan secara CCTV adalah antara langkah yang difikirkan perlu memandangkan kenaikan tinggi kes-kes kemalangan sebegini.

Selain itu, kempen-kempen pemanduan secara berhemah dan tidak merbahaya perlulah dipergiatkan semula, agar pemandu tidak sewenang-wenangnya memasuki lorong-lorong kecemasan apabila tidak perlu, membuli di jalanraya, memandu ketika mabuk dan sebagainya.

Sikap pemandu, juga pembacaan doa agar perjalanan dipelihara Tuhan, juga penguatkuasaan dan pemantauan oleh pihak berwajib juga kit perjalanan kereta diharapkan dapat mengurangkan lagi kadar kemalangan di Malaysia.

*DR NOOR DZUHAIDAH OSMAN merupakan Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.