Apa sebab Amerika tidak mahu hantar tentera berperang di Ukraine?

Oleh ARIF ATAN

Adakah Presiden Amerika Syarikat (AS) mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan atau menyertai peperangan bagi menentang negara lain?

Itulah persoalan yang hangat dibangkitkan ketika ini selepas tentera Rusia menceroboh negara jirannya, Ukraine pada 24 Februari lalu.

Sehubungan itu, adakah Presiden AS boleh mengikut pertimbangannya sendiri dengan mengarahkan tenteranya berperang tanpa perlu melalui kelulusan daripada Kongres negara tersebut?

Adakah ia sudah menjadi amalan sejak sekian lama iaitu Presiden AS tidak perlu mendapat kelulusan Kongres negara tersebut untuk mengarahkan tenteranya berperang bagi menentang negara lain untuk mencapai sesuatu misi dan matlamatnya?

Kongres AS ialah badan perundangan kerajaan persekutuan dan ia mengandungi dua dewan penggubal undang-undang iaitu Dewan Perwakilan dan Dewan Senat.

Sebenarnya, ramai Presiden AS yang mengarahkan tentera negaranya untuk menyerang negara lain atas pelbagai sebab pada masa lalu tanpa mendapat kelulusan daripada Kongres Amerika seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara berkenaan.

Perlembagaan AS memberikan Kongres negara berkenaan kuasa tunggal untuk mengisytiharkan perang.

Kongres AS telah mengisytiharkan perang lebih 10 kali termasuk pengisytiharan perang pertamanya dengan Great Britain pada 1812.

Bagaimanapun, ketika AS diperintah Presiden Ronald Reagan, beliau mengarahkan tenteranya menyerang Grenada, semasa negara tersebut dibawah kepimpinan Presiden George H.W. Bush, tenteranya menyerang Panama dan Somalia.

Semasa AS dibawah kepimpinan Presiden Bill Clinton, beliau menggunakan kekuatan tenteranya melakukan serangan udara ke atas Iraq, menyerang Haiti, Bosnia, Afghanistan, Sudan dan Kosovo.

Kesemua serangan tersebut dilakukan tanpa mendapat kelulusan Kongres AS.

Ketika era kepimpinan Presiden George W. Bush, AS tidak mengisytiharkan perang ke atas Afghanistan atau Iraq.

Namun, Kongres AS membenarkan penggunaan kekuatan tentera negara tersebut untuk terlibat dalam konflik atas nama memerangi keganasan.

Apa sebab Amerika tidak mahu hantar tentera berperang di Ukraine?
Sejumlah tentera AS ditempatkan di Poland yang berjiran dengan Ukraine walaupun tidak berperang.

Semasa era kepimpinan Presiden Barack Obama, beliau mengarahkan serangan tentera yang disasarkan di Libya pada tahun 2011 dan berpuluh-puluh serangan dron tanpa pemandu di Pakistan tanpa mendapat kelulusan Kongres AS.

Malah, ketika era kepimpinan Presiden Abraham Lincoln, beliau mengaku mengambil tindakan ketenteraan tanpa kelulusan Kongres AS semasa Perang Saudara berlaku pada tahun 1860an.

Presiden AS ke-33, Harry Truman tidak pernah meminta kebenaran Kongres negaranya untuk menghantar tentera ke Korea.

Sebaliknya, Truman membenarkan tindakan itu dilakukan di bawah resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menganggpanya ia sebagai satu tindakan polis dan bukannya perang.

Biden enggan ulang kesilapan

Justeru, kenapakah Presiden AS ketika ini, Joe Biden tidak mahu menghantar tenteranya berperang di bumi Ukraine yang diceroboh tentera Rusia?

Baru-baru ini, Biden menyatakan bahawa tentera AS tidak akan terlibat dengan konflik dengan Ukraine.

Penegasan itu dibuat ketika tentera Rusia sedang mara di dalam negara Ukraine.

Beliau juga membuat keputusan tersebut selepas tentera AS berundur dari Afghanistan pada Ogos 2021 dalam suasana perpindahan yang penuh kelam-kabut sehingga menyaksikan Taliban menguasai semula negara tersebut.

Ketika itu, Biden yang merupakan Presiden AS paling tua dalam sejarah dianggap berjaya menamatkan perang di Afghanistan yang bermula pada awal Oktober 2001 sehingga Ogos 2021 melibatkan tempoh selama hampir 20 tahun.

Perang itu dimulakan oleh Bush dengan tujuan untuk menghapuskan kumpulan Al-Qaeda yang didakwa ketika itu telah melancarkan serangan ke atas bangunan berkembar World Trade Center, New York dan bangunan Pentagon dekat Washington pada September 2001.

Bilangan askar AS yang terbunuh dalam perang di Afghanistan ialah lebih 2,000 orang dan lebih 46,000 orang awam terbunuh di negara itu.

Walaupun tarikh yang dipilih AS untuk berpindah ditetapkan pada 31 Ogos 2021, Biden berkata, ia bertujuan untuk melindungi nyawa warga Amerika dan beliau dilaporkan tidak mahu melanjutkan lagi perang di Afghanistan.

Dalam peperangan itu, Ketua Al-Qaada, Osama bin Laden mati dibunuh oleh anggota tentera dalam misi khas itu di Abbottabad, Pakistan dan kumpulan tersebut tidak lagi sekuat seperti dahulu.

Bagaimanapun, Biden merupakan satu-satunya senator dari parti Demokrat yang mengundi Bush daripada parti Republikan untuk melakukan tindakan ketenteraan di Iraq bagi mencari senjata pemusnah besar-besaran ketika negara itu dipimpin oleh Presiden Saddam Hussein.

Namun, walaupun tindakan ketenteraan dilakukan di Iraq, senjata pemusnah besar-besaran masih belum ditemui sehingga sekarang tetapi negara tersebut mengalami kemerosotan yang teruk dari segi kemanusiian.

Presiden AS itu menyatakan bahawa beliau tidak mahu mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh Amerika pada masa lalu.

Apa yang jelas ialah Biden pernah memberitahu NBC News pada bulan Januari lalu bahawa perang dunia akan berlaku jika askar-askar AS dan Rusia mula menembak sesama mereka.

Itulah sebab kenapa AS tidak mahu berperang di Ukraine tetapi Biden mengambil peranan aktif untuk menamatkan peperangan tersebut menerusi diplomasi.

Walaupun tidak berperang, sejumlah tentera AS telah ditempatkan di Poland yang berjiran dengan Ukraine.

*Artikel ini kali pertama diterbitkan dalam Sinar Ahad, 6 Mac 2022.