Maaf Tan Sri Speaker, suka atau tidak suka anda dilihat gagal dan memalukan Dewan Rakyat!
Dengan hormat, saya benar-benar kecewa dengan apa yang saya anggap kegagalan TS Speaker Dewan Rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab Perlembagaan beliau untuk memartabatkan ketinggian dan kehormatan Dewan Rakyat “to his best ability” sesuai dengan lafaz sumpah yang beliau lafazkan semasa menjawat jawatan mulia itu mengikut Jadual Ke-Enam Perlembagaan Persekutuan.
Jujurnya, semasa beliau memberikan peluang untuk YB Pekan memberikan penjelasan pada hari ini (Rabu, 9 Mac) lanjutan dari usul untuk merujuk YB Pekan ke Jawatankuasa Hak di bawah Peraturan 36 (12) yang difailkan oleh YB Damansara (DAP-PH ), saya agak rasa sedikit gembira dan bersedia melupakan sebentar banyak kekecewaan saya ke atas TS Speaker tersebut.
Kekecewaan besar saya hari ini ke atas TS Speaker adalah kerana kesediaan dia untuk membenarkan YB Pekan dengan secara mudah diberi lanjutan masa untuk memberikan penjelasan mengenai kenyataan dia tentang isu hutang 1MDB.
Ya, memang boleh dihujahkan TS Speaker mempunyai budi bicara untuk mempertimbangkan permohonan YB Pekan bagi lanjutan masa.
Tetapi, seperti yang saya percaya, TS Speaker juga sedar dan tahu kebenaran lanjutan masa itu mesti atas alasan yang kukuh dan bermerit!
Apa alasan YB Pekan? Telah menjadi pengetahuan umum dia (penjenayah / banduan besar yang telah disabitkan bersalah) tidak hadir ke Parlimen hari ini sebab sibuk berkempen untuk Umno/BN dalam PRN Johor!
Jujurnya, adakah TS Speaker boleh terima alasan seremeh itu? Adakah ia adalah alasan yang kukuh dan bermerit?
Adakah TS Speaker tidak rasa alasan YB Pekan itu adalah bukan sahaja tidak munasabah tetapi juga boleh ditafsirkan sebagai TIDAK MENGHORMATI DEWAN RAKYAT dan juga TIDAK MENGHORMATI KERUSI SPEAKER itu sendiri kerana arahan TS Speaker hanya dianggap seperti arahan seorang ketua darjah di sekolah rendah sahaja ?
Saya tidak pasti peristiwa hari ini adalah juga satu lagi “national embarrassment”?