Jangan buang pakaian kesayangan anda jika terdapat tahi lalat. Ini 5 petua mudah lagi berkesan untuk menghilangkannya:
- Cuka
Campurkan 1 cawan cuka putih ke dalam 1 baldi air dan rendam sekurang-kurangnya sejam. Kemudian, cuci bahagian berkulat dengan sabun pencuci.
Gunakan air hangat semasa memberus dan membilas supaya tahi lalat lebih mudah ditanggalkan. Jika ingin gunakan pada fabrik lain seperti langsir atau sofa, masukkan larutan cuka ke dalam botol penyembur.
Sembur saja terus pada bahagian yang bertahi lalat. Gosokkan dengan berus sesuai dan bilas seperti biasa dengan sabun detergen.
- Baking Soda
Cuba jenguk rak atau kabinet dapur anda. Tentu ada baking soda. Nah, apa kata buat pes baking soda. Campurkan sedikit air pada baking soda dan terus sapukan pes ini pada bahagian baju yang bertahi lalat.
Biarkan seketika kemudian beruskan seperti biasa. Jika tahi lalat belum tanggal, anda boleh menambahkan sedikit cuka putih pada serbuk baking soda itu.
Kedua-dua bahan ini sering digunakan bersama kerana ia berkesan membunuh spesies kulat yang berbeza. Ramai ibu gemar cara yang mudah dan berkesan ini.
- Jus lemon dan garam
Perahkan sebiji lemon dan campurkan jus lemon itu dengan sedikit garam sehingga ia menjadi pes. Gunakan pes ini untuk disapukan pada bahagian yang bertahi lalat.
Kemudian, beruskan seperti biasa. Anda juga boleh rendamkan pakaian dalam larutan lemon dan garam ini dalam air suam selama sejam. Selepas itu bilas seperti biasa.
- Peluntur
Peluntur (bleach) atau sering orang kita panggil ‘clorox’ adalah sangat kuat menghapuskan kesan tahi lalat. Namun, awas ia juga boleh melunturkan warna. Jadi, cara ini hanya sesuai untuk pakaian berwarna putih saja.
Caranya mudah. Larutkan sedikit peluntur bersama air. Gunakan berus untuk menanggalkan tahi lalat. Taburkan sedikit sabun pencuci serbuk. Ulangi langkah ini beberapa kali jika masih belum tanggal.
Sebaik-baiknya, gunakan air yang sedikit hangat untuk membilas dan mencuci pakaian itu. Sekiranya, pakaian adalah daripada fabrik lembut dan sensitif, rendamkannya dalam larutan peluntur selama kira-kira 20 minit mengikut sukatan pada produk.
- Vanish
Satu lagi produk boleh anda gunakan adalah serbuk atau cecair Vanish yang boleh dibeli di pasaran. Ia sesuai digunakan pada pakaian putih mahu pun berwarna.
Caranya, sapukan Vanish pada fabrik yang ada kesan tahi lalat. Biarkan seketika sekitar 5 – 10 minit. Beruskan sedikit dan bilas. Selepas itu, cuci seperti biasa dengan sabun pencuci.
Selepas mencuci pakaian yang terkena kulat, jemurkannya di bawah sinaran matahari untuk kesan lebih efektif.
Bagi mengelak daripada berulang, keringkan terlebih dahulu pakaian yang lembap sebelum dimasukkan ke dalam bakul baju kotor.