Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah pun selesai. Rakyat telah pun memilih, walaupun hanya 54.92 peratus sahaja pengundi yang keluar mengundi. Satu jumlah yang amat sedikit dan dari sudut demokrasi menggambarkan beberapa kepincangan terutama kesedaran rakyat terhadap implikasi kerana membuat pilihan melalui undi atau langsung tidak mengundi.
Tanggapan bahawa ‘sama sahaja’ sama ada mengundi mahu pun tidak adalah merupakan keputusan paling tidak bertanggungjawab. Atau rakyat juga mungkin telah muak dengan politik tidak menetu ahli-ahli politik.
Kelesuan kumpulan kluster pembangkang: PKR, AMANAH, DAP, Pejuang, Warisan, Muda untuk meraih undi kemenangan sangat ketara. Pesaing bagi BN iaini Perikatan Nasional (PN) juga tidak menampakkan persaingan yang kuat kepada BN.
PN bukanlah merupakan saingan yang perlu dibimbangkan oleh BN, kini, dahulu atau selamanya. PN bukan sahaja terdiri dari pengkhianat, pakar lompat dan merupakan serpihan Umno dan PKR yang tiada apa-apa kekuatan politik buat masa ini.
Kenapa kekalahan ini berlaku? Penulis lebih selesa menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) telah dikhianati oleh rakannya sejak menamg dalam PRU-14. Belum pun sempat PH membuktikan semua agendanya, ketamakan kepada kuasa dan kedudukan, PH telah dikhianati oleh rakanya sendiri.
Terutamanya oleh kumpulan Tan Sri Mahiaddin Yassin yang bercita-cita hanya untuk menjadi Perdana Menteri dengan mengambil jalan mudah bersekongkol dengan Umno, Pas dan pengkhianat dari kalangan pimpinan PKR. Akhirnya tanpa menyedari bahawa Umno mengambil strategi itu hanyalah semata-mata untuk kembali berkuasa dengan menggunakan trade-mark KERAJAAN STABIL!
Tidak stabilkah kerajaan PH? Ini semua agenda dan rekaan gerak saraf yang dimainkan oleh Umno/BN untuk melumpuhkan PH pada ketika itu. Dengan memperlekehkan dan meremehkan semua misi dan misi PH.
Ini disokong oleh Pas yang turut menghunus keris cemburunya dengan kejayaan PH memenangi PRU14 dengan memainkan ratib menyalahkan segara-galanya kepada DAP!
Nah! sekarang mana dia agenda hudud dan RUU 355? Barulah Pas sedar bahawa banyak lagi kekangan perlembagaan yang perlu diselesaikan. Barulah para menteri Pas tersipu-sipu menyatakan bahawa urus tadbir air lebih perlu diutamakan dari pembentangan RUU355.
Inilah lidah-lidah hipokrit yang telah memperdaya rakyat dengan perhimpunan baju unggu di Padang Merbok yang kononya untuk mempertahankan Islam!
Dikalangan anggota PH pula ada yang turut terpesona dan kerkejut dengan kekuasaan dan ghanimah yang tidak disangka-sangka. Ketamakan dan kehalobaan segelintir anggota kabinet telah membuat pakatan untuk menjatuhkan kerajaannya sendiri, juga dengan ratib yang meletakkan segala kesalahan kepada DAP.
Pengkhianatan Bersatu dan sebilangan anggota Parlimen PKR telah merobohkan usaha reformasi. Penulis masih beranggapan YB Langkawi juga memainkan peranan ke atas keruntuhan kerajaan dengan meletakkan jawatan TANPA BERUNDING terlebih dahulu dengan Majlis Presiden PH.
Alasan Tun bahawa beliau telah kehilangan majoriti tanpa membuat berunding untuk menyelamatkan kerajaan bersama pimpinan PH. Sedangkan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri atas restu pimpinan PH, bukan atas kekuataan beliau atau Bersatu semata-mata.
Pada Langkah Sheraton itulah Umno dan Pas mengambil kesempatan. Runtuhnya kerajaan pilihan rakyat pada PRU14 pada hemat penulis sebahagian adalah juga sumbangan Langkah Tun Mahathir yang meletak jawatan.
Walau apa yang telah berlaku, ia telah berlalu. PH hendaklan membuat muhasabah besar dan menyeluruh terhadap kesan yang sedang dihadapi sekarang. Pemilihan rakan dalam pakatan hendaklah dinilai semula. Sosok pegkianat seperti bekas Timbalan dan Naib Presiden PKR hendaplah dibersihkan dalam parti.
Selagi masih ada lagi najis mughalazah dalam kalangan kepimpinan dan ahli PKR, maka ia hendaklah disucikan dengan sesuci mungkin. Jangan pisang berbuah dua kali.
Agenda reformasi hendaklah diutamakan dan disemarakkan kembali. Jangan menyalahkan peratus pengundi yang rendah kerana kekalahan ini tetapi lihat kembali bagaimana untuk menarik kepercayaan rakyat yang terhakis kerana tiada kesatuan dan tidak dapat merapat serta meluruskan saf pemikiran kepada satu matlamat yang jelas.
Pada masa yang sama, DAP juga harus melihat hasrat majoriti masyarakat Melayu dan Islam. Bagaimana mereka boleh berperanan sebagai sebagai sebahagian anggota masyarakat yang tidak menggambarkan ciri ekstrem dan tidak boleh pula dilabel ekstrem oleh masyarakat.
Anggota Parlimen DAP yang semberono berhujah dalam dan luar parlimen harus sedar mereka perlu hidup dalam arus masyarakat bertamadun yang hormat menghormati. Mereka harus mendalami asas fiqh siasah, kehidupan masyarakat madani dan toleransi beragama dalam erti-kata sebenar.
Jika DAP gagal dalam usaha ini, maka selamanyalah mereka akan dilabel sedemikian oleh pentaksub dan peniaga agama serta mereka yang hanya berpaut kepada isu perkauman. Carilah jalan, ruang dan suasana yang membolehkan semua ini berubah. Pimpinan muda seperti Hannah Yeoh atau Anthony Loke hendaklah diketengahkan.
PKR dan AMANAH juga dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor tidak menampakkan apa-apa perkembangan yang memberangsangkan. Mereka dilihat kalah dengan perang saraf perkauman dan penjualan agama oleh Umno, Pas dan sekutunya.
Masa terlalu singkat tetapi carilah jalan bagaimana untuk memperbaiki keadaan. Teliti kembali struktur kepimpinan yang mungkin rakyat telah muak dengan strategi ‘enough numbers’ dan ‘sokongan yang boleh dipercayai’.
Pimpinan sangat gembira dan terpesona dengan janji-janji sokongan Umno/BN bagi mencukupkan bilang untuk menguasai kerajaan. Sedangkan mereka hanya memainkan peranan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan hanya untuk memastikan Umno/BN kembali ke tampuk kekuasaan.
Usahlah terpesona dengan Umno/BN, gerakan mereka adalah gerakan penipuan dan janji-janji mereka adalah janji kosong yang langsung tidak boleh dipercayai.
Oleh itu PH hendaklah dengan sesegera mungkin memperbaiki keadaan, membersihkan dalaman parti dan komponen, menyemarakkan kembali agenda reformasi, mengukuhkan pakatan dan menyatukan semua pembangkang dalam satu khemah besar dengan berlapang dada namun dengan penuh berhati-hati.
Kepimpinan jika perlu hendaklah di transformasi, yang telah lapuk dan usang mungkin perlu diganti, namun pengganti perlu ada ketokohan yang dapat menyaingi ketokohan lawan. Jika setakat menukar tanpa ada ketokohan juga tidak membawa manfaat dan faedah besar kepada Pakatan Harapan.
Ingatlah, kain buruk ada kalanya hanya boleh dijadikan alas kaki, namun kain baru pula tidak semestinya bermutu. Lama dan baru hendaklah disinergikan. Maka, reformasi dan transformasi kepimpinan dan organisasi hendaklah dilakukan segera!
*Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam Jordan. Walau bagaimanapun, penulisan ini adalah merupakan pendapat penulis dan tiada kaitan dengan pendirian akademi.
Baca Juga : MUDA bertanding enam kerusi hasil kesepakatan AMANAH, DAP