Kemelut yang menimpa KL City FC berpunca dari pertukaran Menteri Wilayah yang baru, demikian menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), YB Khalid Abdul Samad.
Beliau berkata, kedudukannya sebagai presiden tidak begitu kukuh setelah kerajaan Pakatan Harapan jatuh bagaimanapun beliau tetap meneruskan usaha untuk berhubung dengan baik.
Ini kerana katanya, sukan bola sepak tidak sepatutnya dicampur aduk dengan politik.
“Kita sepatutnya berganding bahu dan bekerjasama untuk majukan bola sepak KLCFC dan kembalikan zaman kegemilangan pasukan satu ketika dahulu dan perbezaan politik tidak sepatutnya menjadi masalah,”katanya dipetik Harimau Malaya.
Khalid turut mengakui bahawa pihak pengurusan KLCFC cuba menyembunyikan isu dalaman yang berlaku dalam pasukan kerana tidak mahu isu ini diperbesarkan sekaligus dapat menjejaskan semangat pasukan.
“Secara umumnya kita tunjukkan kita okay yang mana ketika itu saya dan Menteri Wilayah iaitu Tan Sri Annuar Musa duduk bersama buat PC (sidang media) bersama, tetapi hakikatnya saya rasa mereka ada agenda lain.”
Tambah Khalid lagi, apabila masuk musim 2021 yang mana pasukan KLCFC berjaya naik ke Liga Super, mereka mengharapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terus bekerjasama dengan mereka tetapi sebaliknya berlaku.
Menurutnya pada mulanya semua berjalan dengan lancar dan DBKL sepatutnya memberikan RM5 juta unutk tahun 2021, tetapi ia diberi dalam ansuran yang mana bayaran pertama berjumlah RM2.5 juta.