Pengeluaran khas RM10,000 dibenarkan, terma dan syarat akan ditentukan KWSP

Oleh NASUHA RAHMAN

Kerajaan telah bersetuju membenarkan pengeluaran khas RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bagaimanapun penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas ini akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri walaupun keputusan sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

“Walaupun Kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

Pengeluaran khas RM10,000 KWSP dibenarkan
Ismail Sabri Yaakob

“Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu.

Berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz memberitahu butir-butir dan syarat pengeluaran khas KWSP itu akan diperincikan oleh KWSP.

“Susulan kepada pengumuman oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, mengenai pengeluaran khas, saya ingin memaklumkan bahawa butir-butir mengenai pengeluaran tersebut akan diperincikan oleh KWSP dalam masa terdekat,” katanya di FB sebentar tadi.