Kos 2 PRN RM140 juta PRU15 sudah tentu lebih RM1 billion, tidak wajar wang rakyat dibazirkan

Oleh NASUHA RAHMAN

Kos dua pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor dilaporkan mencecah RM140 juta, dan sudah tentu kos PRU15 lebih RM1 bilion sedangkan ekonomi negara masih belum pulih.

Apa, sebenarnya yang bermain dibenak Umno sehinggakan mereka asyik mendesak untuk diadakan pilihan raya umum (PRU) dengan segera sedangkan rakyat masih berhadapan dengan masalah ekonomi dan kesihatan ekoran pandemik Covid-19.

Kos 2 PRN RM140 juta PRU15 sudah tentu lebih RM1 billion, tidak wajar wang rakyat dibazirkan
Faiz Fadzil

Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil, berkata, seharusnya Umno sedar bahawa PRN Melaka dan Johor yang diadakan secara berasingan baru-baru ini telah menelan kos hampir RM140 juta setelah perbelanjaan yang tinggi diperlukan bagi melaksanakan prosedur operasi standard atau SOP bagi mengawal penularan Covid-19.

“Sekiranya PRU dilaksanakan kosnya akan mencecah melebihi RM1 bilion sedangkan ekonomi negara masih belum pulih dan adalah tidak wajar wang rakyat dibazirkan sedangkan rakyat pula tidak dibantu,” katanya.

Justeru, katanya desakan Pemuda dan Puteri Umno supaya diadakan PRU membuktikan ianya adalah tindakan terdesak Umno yang tidak bertanggungjawab walaupun menyedari polemik kesihatan sedang menghantui rakyat tatkala ini.

“Kestabilan politik tidak akan wujud walaupun kerajaan baru dipilih kerana Umno sendiri sedang bercakaran sesama mereka.

“Manakala pergolakan politik dalam kalangan kluster mahkamah dan kluster Putrajaya akan berterusan serta mampu menjadikan kerajaan tidak stabil dan kejatuhan kerajaan baru tidak dapat dinafikan boleh berulang sepertimana yang berlaku semasa Langkah Sheraton sebelum ini, ” tegas beliau.

Sehubungan itu tambahnya, tiada apa-apa alasan bagi Umno untuk mendesak supaya PRU diadakan segera dan rakyat harus sedar mengenai permainan politik Umno.

Kini lagi ketara apabila kerajaan Umno hari ini, gagal untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan krisis kesihatan rakyat serta mana mungkin mereka mampu menyelesaikannya dengan adanya PRU.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/prn-johor-bn-menang-bukan-kerana-kuat-tapi-dapat-manfaat-ekoran-perpecahan-pembangkang/