Kerana hutang, pengangguran Herat Afghanistan digelar ‘kampung satu buah pinggang’

Oleh NASUHA RAHMAN

Kerana dibelenggu masalah hutang, pengangguran dan kekurangan sumber makanan penduduk di kawasan Herat barat Afghanistan digelar ‘kampung satu buah pinggang’

Penduduk Afghanistan sanggup menjual buah pinggang sendiri yang tidak mempunyai pilihan lain dan melakukannya demi kelangsungan hidup anak-anak dan keluarga.

Seorang penduduk, Nooruddin berkata dia menjual organ dalaman dirinya bagi tempoh jangka masa pendek bagaimanapun beliau akhirnya berasa menyesal sekarang kerana tidak boleh bekerja lagi.

“Saya terasa sakit dan tidak mampu mengangkat benda berat,” luahnya ketika ditemui wartawan AFP di rumahnya.

Nooruddin sekeluarga sangat memerlukan sumber kewangan sehingga anak lelakinya berusia 12 tahun terpaksa mengambil upah membersihkan kasut dengan upah 70 sen sehari.

Lelaki itu merupakan antara lapan individu yang ditemui wartawan AFP yang sanggup menjual buah pinggang dengan bayaran AS$1,500 (RM6,283).

Bekas pakar bedah terkenal di sebuah hospital di bandar Mazar-i-Sharif, Mohammad Wakil Matin berkata, tiada undang-undang yang mengawal penjualan organ manusia dalam kalangan penduduk di negara itu.

Kerana hutang, pengangguran Herat barat Afgahnistan digelar 'kampung satu buah pinggang'
Masalah hutang, pengangguran dan kekurangan sumber makanan memaksa penduduk Afghanistan menjual buah pinggang

Bagi Mohamad Bassir Osmani yang merupakan pakar bedah di hospital Herat yang menjalankan pembedahan pemindahan organ, ‘persetujuan’ individu adalah penting.

Katanya, ratusan pembedahan berjaya dilaksanakan di Herat sejak lima tahun lalu bagaimanapun pihaknya tidak pernah menyiasat dari mana pesakit atau penderma berasal, kerana itu bukan tugas mereka.

Penduduk Afghanistan yang terdesak mendapatkan wang akan dipadankan dengan pesakit kaya dari India dan Pakistan yang sanggup datang ke Herat.

Dalam pada itu, akibat dua daripada tiga anak-anak Azyta kekurangan zat makanan, wanita itu nekad menjual buah pinggangnya.

“Saya jual buah pinggang dengan harga AS$2,700 (RM11,309).

“Saya terpaksa melakukannya kerana suami tidak bekerja dan kami mempunyai hutang yang perlu dibayar,” ujarnya dipetik Utusan.

Disebabkan itu, suami Azyta turut bercadang melakukan perkara sama bagi mendapatkan duit.

Katanya, orang ramai menjadi semakin miskin sehingga menyebabkan mereka sanggup menggadai nyawa akibat keterdesakan hidup.