Lim Kit Siang : Seorang berprinsip, setiakawan dan pemikiran tajam dalam politik

Oleh NASUHA RAHMAN

Lim Kit Siang seorang yang sangat berprinsip, setiakawan dan mempunyai pemikiran yang tajam dalam politik serta seorang Tokoh Politik Nasional sebaris dengan ketokohan Tun Mahathir dan Tuan Guru Nik Aziz.

Hari ini Lim Kit Siang mengumumkan persaraannya dalam Politik. Bagi aku Lim Kit Siang seorang Tokoh Politik Nasional sebaris dengan ketokohan Tun Mahathir dan Tuan Guru Nik Aziz. Mempunyai ketajaman dalam berpolitik. Malah kedudukan Lim Kit Siang dalam DAP, persis kedudukan Almarhum TG Nik Aziz dalam Pas.

Biarpun dimomokkan wajah Lim Kit Siang datang dari kelompok chauvinist, dengan diberi gambaran komunis dan anti Islam, bagi aku Lim Kit Siang jauh lebih liberal terutama pengetahuannya tentang Islam. Itu sebab Lim Kit Siang antara yang lunak dengan Pas dan rapat dengan Almarhum TG Nik Aziz dan Ustaz Fadzil Noor berbanding pemimpin DAP yang lain.

Ketika berlaku perdebatan dalam Pakatan Rakyat (PR) tentang perlaksanaan Hudud, Cukup menarik mendengar pandangan Lim Kit Siang dalam satu ceramah tentang Hudud jauh mendepani masa. Bila mendengar pandangan Lim Kit Siang ianya mengejutkan aku. Malah boleh dikatakan kefahamannya tentang perlaksanaan Hudud, jauh lebih Faqih berbanding Ulama Pas. Apa yang diungkapkan Lim Kit Siang menunjukkan dia seorang yang membaca dan punya kefahaman yang baik tentang Islam..

Begitu juga ketajaman Lim Kit Siang berkenaan politik, beberapa tindakan dan kenyataan politiknya cukup realistik. Umpamanya, sebelum PRU14, aku masih ingat dia telah mencadangkan Pas diberi laluan bertanding di Kedah, Terengganu dan Kelantan biarpun Pas ketika itu cukup tebal kebenciannya kepada DAP. Lim Kit Siang kata, Pas punya peluang besar di tiga negeri ini.

Lim Kit Siang : Seorang berprinsip, setiakawan dan pemikiran tajam dalam politik
Kit Siang dan Tun Mahathir

Dan memang benar, selepas PRU 14, Pas menguasai sebahagian besar Kedah, Kelantan dan Terengganu, biarpun masa itu aku ngan Rafizi meramalkan Kelantan boleh tumbang. Tetapi ianya tersasar, maksudnya bacaan politik Lim Kit Siang masa tu lebih tajam dari Rafizi biarpun tak punya badan Kaji selidik sendiri.

Di mana pun Lim Kit Siang bergerak dan bertanding, sama ada di Perak atau Johor, Lim Kit Siang pasti menang biarpun kawasan itu kawasan kubu kuat MCA atau Umno, dan di mana dia bergerak pasti ada gelombang politik di sana, dan yang terakhir di Johor dan sudah pasti ia membuktikan Lim Kit Siang mempunyai bacaan politik yang cukup tajam.

Antara sifat baik Lim Kit Siang, dia mempunyai semangat setiakawan yang baik, paling kurang menyerang peribadi atau menghina peribadi lawan hatta seperti pemimpin Umno. Lim Kit Siang seorang yang realistik. tidak emosi. Seorang yang punya pemikiran dan ahli strategi yang baik.

Lim Kit Siang berjasa besar sepertimana Almarhum Tg Nik Aziz dalam Pas menghilangkan fobia atau ketakutan masyarakat Cina kepada Islam dan Pas sehingga Pas dapat menguasai kawasan bandar dan kawasan bukan Islam. Begitu besar jasa Lim Kit Siang bukan hanya pada Pas, tetapi Islam itu sendiri. Malangnya jasa Lim Kit Siang dibalas fitnah oleh Haji Hadi dan gerombolan Ulama dalam Pas.

Apapun. Jasa Lim Kit Siang dalam Politik cukup besar. Melihat karakter Lim Kit Siang sama seperti Almarhum TG Nik Aziz dalam Politik. Mereka ini tidak pentingkan kedudukan atau jawatan dalam Kerajaan. Mereka yang tidak punya matlamat politik peribadi tetapi lebih mementingkan matlamat utama, atau membantu rakan tahaaluf dalam Politik. Lim Kit Siang berpolitik pada usia tua sama seperti Almarhum TG Nik Aziz yang suatu ketika dituduh gila kuasa.

Antara keberanian Lim Kit Siang mengorbankan Logo keramat DAP demi setiakawan mereka dalam Pakatan Harapan. Sikap ini mengambarkan bertapa besarnya nilai setiakawan dan gambaran apa yang tersembunyi dalam isi hati dan niat tulus mereka dalam Politik sepertimana Almarhum Tok Guru Nik Aziz dan ustaz Fadzil Noor. Kehidupan mereka cukup sederhana.

Sudah pasti pengundurannya dalam politik, sebahagian dari bacaan politiknya kerana menyedari perlunya Malaysia dibarisi kepimpinan yang baru dan lebih segar.

Biarpun orang Melayu telah ditanamkan dengan kebencian kepada Lim Kit Siang. Bagi aku ketokohan Lim Kit Siang wajar diangkat sebagai tokoh Nasional. Sebahagian besar sejarah Politik Malaysia ada bersamanya. Semoga Allah kurniakan Hidayah dan pengakhiran yang baik buat Lim Kit Siang.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/lim-kit-siang-berundur-dari-politik-selepas-56-tahun-bersama-dap/