Surat terbuka di hari pertama persaraan Lim Kit Siang

Oleh BORHAN AHMAD

Saudara Lim Kit Siang,

Pada 29 Ogos 2014, kira-kira setahun sebelum Pas berpecah, bekas Ketua Pengarang Harakah yang bertugas di The Malaysian Insider ketika itu, Zulkifli Sulong telah menulis satu surat panjang kepada saudara.

Surat bertajuk “Surat untuk saudara Lim Kit Siang” itu telah disiarkan oleh The Malaysian Insider dan kini masih kekal dalam Yahoo! News selepas laman The Malaysian Insider tidak ada lagi selepas ditutup oleh pemiliknya.

Saya berhasrat untuk menyambung surat itu.

Kira-kira dua minggu sebelum surat itu (13 Ogos 2014), Zulkifli juga telah membuat satu surat panjang untuk Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat melalui laman berita yang sama.

Semalam, Saudara Lim Kit Siang mengumumkan persaraannya selepas 55 tahun berkecimpung secara aktif dalam politik Malaysia. Saudara tidak mahu bertanding dalam CEC dan tidak juga akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam suratnya kepada Saudara Kit Siang, Zulkifli telah memohon agar DAP tidak terlalu menekan Pas ketika krisis penukaran MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang lebih dikenali dengan Langkah Kajang itu.

Beliau bimbang, kalau-kalau Pas jatuh gaung dan disambut oleh Umno atau Umno akan menghulurkan ‘ranting zaitun’ ketika Pas hampir jatuh.

Saudara perlu menjadi orang tengah dan faktor pendamai. Ketika PAS dan PKR tidak mencapai kata sepakat, saudara sebagai orang tua perlu memainkan peranan mendamaikan kedua-duanya bukan memihak kepada mana-mana pihak.

Tindakan DAP sejak kebelakangan ini saya lihat seolah-olah memaksa PAS pergi bekerjasama dengan Umno, sedangkan itu adalah mimpi ngeri untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini.

Bayangkan apabila PAS dan Umno bergabung. Malaysia akan diperintah 60% orang Melayu yang sangat kuat. Ketika itu orang Cina dan India akan menjadi pembangkang. Apa akan jadi kepada negara ini?

Umno pula sangat hendakkan PAS kerana dia lemah sekarang. Cuba masa dia kuat, dia akan menendang PAS keluar semula sebagaimana berlaku sebelum ini.

Ingat tak lagi saudara bagaimana Malaysia diperintah ketika Umno mendapat sokongan kuat orang Melayu di zaman Dr Mahathir dulu. Ingat lagi bagaimana saudara dan pemimpin DAP dan PAS yang lain terpaksa merengkok di Kem Kemunting Taiping melalui Operasi Lalang. Padahal apinya dihidupkan dan ditiup pemimpin Umno atau lebih tepat lagi Najib sendiri di Stadium TPCA.

Saya membuat penyataan ini bukan saja-saja saudara Lim. Cara PKR dan DAP bertindak dalam isu Selangor sekarang ini sememangnya memaksa dan menolak PAS ke dalam jurang yang dalam. Ketika mahu jatuh, PAS akan berpegang kepada apa saja yang boleh dipegangnya untuk menyelamatkan diri. Yang paling saya bimbangi adalah yang PAS terpegang itu adalah ranting zaitun yang dihulur Umno,” tulis Zulkifli dalam tulisan lebih tujuh tahun lalu itu.

Tidak sampai setahun selepas tulisan Zulkifli itu, iaitu pada Mei 2015, Pas berpecah kepada dua. Pihak yang menentang usaha kerjasama Pas dengan Umno ditendang keluar dari parti itu dan menubuhkan AMANAH kemudiannya dan menjadi rakan karib DAP sekarang.

Namun selepas lebih enam tahun kisah cinta Pas dan Umno, beberapa hari lepas, Perhimpunan Agung Umno (PAU) telah secara rasmi dimaklumkan tidak ada lagi kerjasama dengan Pas. Tiada lagi Muafakat Nasional yang mereka tubuhkan sebelum ini.

Pas dikutuk dan dihina oleh perwakilan dan juga pimpinan Umno. Sebelum itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga melahirkan kekesalannya terhadap Umno. Beliau menyifatkan Umno umpama itik patah kaki yang diubati oleh Pas. Namun selepas sembuh, itik itu mahu terbang sendiri sahaja.

Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan “Selepas kakinya sembuh, itik itu berak di atas muka Pas”. Manakala Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula menyifatkan Presiden Pas sebagai zoologist atau pakar haiwan ketika membalas kenyataan Abdul Hadi.

Semua kini sedar, Unmo dan Barisan Nasional (BN) adalah ‘the common enemy’ kepada DAP dan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH), Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dan juga parti-parti pembangkang yang lain.

Mereka sedar mimpi ngeri akan berlaku lagi jika BN memerintah negara semula. Tambah-tambah kalau rancangan untuk menjadikan Datuk Seri Najib (yang disifatkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan sebagai ‘National Embarassment’) sebagai perdana menteri semula menjadi kenyataan.

Saudara Lim Kit Siang.

Walaupun Saudara telah bersara, saya percaya hampir kesemua pimpinan DAP sekarang adalah anak buah saudara. Mereka akan mendengar nasihat dan pandangan saudara.

Saya sedar, beberapa pemimpin DAP termasuk anak saudara, Lim Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan tidak akan lagi bekerjasama dengan pengkhianat khasnya pimpinan Bersatu.

Sebenarnya itulah juga yang dirasai oleh pimpinan AMANAH, parti yang paling rapat dengan DAP sekarang dan juga PKR. Bahkan sesetengah pimpinan PKR lebih rela bekerjasama dengan Umno tetapi tidak dengan Bersatu yang disifatkan sebagai pengkhianat.

Namun, bagi saya Saudara Lim Kit Siang, tujuan parti-parti politik ditubuhkan adalah untuk memperjuangkan kepentingan ahli dan rakyat negara ini. Ia sapatutnya dibuat tanpa terlalu mengambil kira soal sentimen.

Yang menanamkan kebencian kepada DAP terhadap rakyat negara ini adalah Umno, sejak dari dahulu lagi sehinggalah sekarang tanpa henti.

Ketika DAP bersama dengan Pas dalam Pakatan Rakyat, Pas diserang kerana berkawan dengan DAP. Pas dilebelkan sebagai kuda tunggangan DAP sebagaimana lebel yang diberikan kepada AMANAH sekarang.

Ketika Pakatan Harapan memerintah negara, Umno mengheret Pas untuk menyerang kerajaan PH dan sasarannya adalah DAP. Sebagaimana kita semua tahu, Pas hanya digunakan Umno ketika ‘kakinya patah’. Selepas kakinya sudah sembuh, dia mahu terbang sendiri dan berak di atas muka Pas yang menyebuhkan kakinya.

Begitu juga Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu. Tun Dr Mahathir menubuhkan Bersatu bersama Muhyiddin untuk menggantikan Umno kerana mereka tahu Umno tidak boleh lagi diperbaiki.

Saya nampak, sikap Dr Mahathir dan Muhyiddin konsisten dalam menentang rasuah khasnya skandal 1MDB. Walaupun ditekan oleh pemimpin Umno agar campur tangan dalam kes 1MDB dan membebaskan Najib dan Zahid, namun Muhyiddin kekal tidak mahu campur tangan.

Siapakah yang menjadi juara menelanjangkan skandal 1MDB ini kalau bukannya pemimpin DAP sendiri khasnya Saudara Lim Kit Siang dan Tony Pua selain Rafizi Ramli dari PKR. Dr Mahathir hanya datang mebuat pakuan terakhir untuk kerajaan BN semasa PRU-14 lalu.

Benar Muhyiddin mungkin pengkhianat kepada kita iaitu Pakatan Harapan untuk membolehkan beliau menjadi perdana menteri. Kita sepatutnya mengecam perkara itu. Tetapi saya tidak nampak Muhyiddin pengkhianat kepada kepentingan negara yang kita perjuangkan selama ini dalam isu 1MDB.

Oleh itu di hari pertama persaraan saudara ini, saya dengan rendah hati memohon saudara Lim Kit Siang untuk menasihatkan anak-anak buah saudara dalam kepimpinan DAP agar menimbangkan semula untuk tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan lain-lain parti pembangkang dalam PRU-15 nanti demi kepentingan negara.

Hanya dengan kerjasama semua pihak melawan ‘the common enemy’, kita akan berjaya dalam PRU-15 nanti.

Terima kasih saudara.