Bosan dilayan sopan di restoran, anda kini boleh cari gaduh di Karen’s Diner

Oleh ARIF ATAN

Sekiranya sudah bosan dilayan secara sopan dan terbaik daripada restoran yang dikunjungi, kini boleh cari gaduh dengan pelayan di sebuah rangkaian restoran makanan segera, Karen’s Diner.

Jangan panas hati pula nanti, anda bila-bila masa akan ‘dimaki’ pelayan sambil menikmati hidangan yang memang dibayar untuk tujuan yang biasanya mengundang kemarahan.

Pengunjung dibenarkan berpura-pura mencari gaduh dengan pelayan dan pelayan pula ‘menyambut’ untuk menghidupkan suasana dengan turut sama memarahi pelanggan.

Menerusi perkongsian gambar di media sosial, kelihatan sejumlah pelayan dilihat turut selamba menunjukkan jari tengah sambil bergambar dengan pengunjung.

Beroperasi di Australia dan United Kingdom (UK), restoran baharu itu menawarkan layanan biadab selain menjanjikan makanan semestinya enak.

Nama Karen dipilih bersesuaian dengan moto restoran itu, ‘Great Food, Terrible Service’ (‘Makanan lazat, Perkhidmatan Teruk’), lapor akhbar The Age.

Bosan dilayan sopan di restoran, anda kini boleh cari gaduh di Karen’s Diner

Karen biasanya dikaitkan dengan pelanggan wanita pertengahan umur yang selalu tidak berpuas hati atas pelbagai isu, selain gemar memanggil pengurus sesebuah premis untuk ‘mencari pasal’.

Cawangan pertama Karen’s Diner beroperasi di Sydney pada Oktober tahun lalu dan satu lagi cawangan baharu akan dibuka di Brisbane pada April ini.

“Di sini, anda boleh mengadu sepuas-puasnya mengenai apa yang anda tidak puas hati, kami tidak akan ambil peduli, namun kami akan menghidangkan makanan yang lazat, itu jaminan kami.

“Jangan terkejut jika anda disapa secara tidak sopan apabila memasuki premis kami, malah ada pelayan yang melemparkan menu atas meja,” dipetik kenyataan Karen’s Diner menerusi laman sesawangnya.

Baca juga: