‘Akta SOSMA rohnya memang macam ISA, segera lakukan siasatan elak aniaya orang’

Oleh ARIF ATAN

Bagi Ahli Parlimen Lumut, Datuk Wira Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli, Akta SOSMA rohnya tidak ubah seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Wakil rakyat dari parti AMANAH itu antara 86 Ahli Parlimen yang menolak usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi.

Ikuti hujah penuh Dr Hatta ketika membahaskan usul berkaitan akta tersebut di Parlimen baru-baru ini:

Saya juga ingin turut memujuk pihak belah sana untuk menolak perkara ini di dalam Dewan. Antara hujahnya ialah kerajaan hendak menyiasat, pihak keselamatan hendak menyiasat mereka yang belum pun dituduh tetapi ia masih tersangka.

Saya ada pengalaman kena tangkap dan diletakkan di dalam lokap, Tuan Yang di-Pertua. Bukan sekali, bukan dua, banyak kali.

Beberapa kali apabila lepas 24 jam kita melawan balik di mahkamah kerana mereka hendak menahan reman kita, kita menang kerana hujah kita kalau mereka hendak siasat apa yang ada masanya antara tangkapan dalam masa 24 jam itu kalau mereka serius untuk menyiasat, they can do it, dengan izin. Mereka boleh buat, siasat.

Akan tetapi saya nyatakan dalam tempoh itu langsung tidak ada siasatan kemudian hendak lagi 24 jam, hendak lagi tiga hari. Inilah yang berlaku bagi banyak kes dan ini boleh berlaku di dalam SOSMA ini.

Saya anggap Akta SOSMA ini archive walaupun umurnya baru 10 tahun akta ini tetapi jiwa akta ini dan rohnya memang macam ISA dahulu yang telah berjaya kita lawan dan telah pun dimansuhkan.

Jadi, kita harap kalau benar ada kes dan mereka ini disangka ataupun tersangka, tentulah fakta sudah ada dan mereka tidak memerlukan masa yang panjang untuk menyiasat.

Tempoh 28 hari untuk menyiasat dan seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Padang Rengas tadi, daripada 28 hari ini, 21 hari menyiasat, lagi lapan hari itu untuk menunggu perbicaraan, that is not fair, kata beliau dan saya menyokong.

Bahawa tempoh untuk menunggu perbicaraan ini tidak sepatutnya termasuk di dalam tempoh penahanan ini. Kita rasa pihak berkuasa – polis atau mana-mana pihak – harus lebih profesional dalam siasatan mereka.

Lebih 80 peratus individu yang pernah ditahan mengikut SOSMA tidak didakwa.

Segera lakukan siasatan. Kalau tidak, kita akan menganiaya orang. Seperti disebut oleh Yang Berhormat Johor Bahru tadi, daripada 3,717, hanya 648 sahaja yang didakwa. Selebihnya bagaimana? Yang 80 peratus tadi itu. Ini penganiayaan.

Seperti juga ISA dahulu, ada kes-kes SOSMA ini melibatkan tangkapan ke atas orang-orang politik. Orang politik ini perjuangannya memanglah kadang-kadang keras tetapi untuk menegakkan sesuatu perjuangan, mereka kena tegas.

Akan tetapi kalau tegas itu dilihat sebagai suatu ancaman kepada keselamatan negara dan memerlukan SOSMA ini untuk mengekang perjuangan mereka, saya rasa itu tidak adil.

Jadi, untuk mengelakkan bukan sahaja orang politik tetapi sesiapa juga daripada teraniaya dalam kes penahanan tanpa bicara ini, eloklah kita tidak sokong pelanjutan ini.

Kalau dikatakan tadi kita boleh mengemukakan rayuan habeas corpus di mahkamah, Tuan Yang di-Pertua pun tahu kerjanya memang susah, lambat masa dan merumitkan si mangsa untuk dibawa keluar melalui proses habeas corpus ini. It is not an option.

Bagi saya, kalau kes itu benar-benar mengancam keselamatan, percayalah pihak berkuasa sudah ada fakta, sudah ada data. Bagi yang lain itu, gunakanlah akta-akta lain― Akta Polis, Penal Code dan sebagainya― untuk menahan dan dibenarkan mereka menggunakan semua cara yang sah melalui mahkamah untuk melepaskan diri.

Akan tetapi, kalau 28 hari berterusan ditahan, Tuan Yang di-Pertua, ini adalah sesuatu yang saya rasa amat malang.

Memang kita menyokong usaha untuk menjaga keselamatan tetapi kalau keselamatan yang dimaksudkan ialah keselamatan pihak-pihak tertentu daripada ancaman, bangkangan daripada pihak yang lain, saya rasa ini tidak adil mengenakan sesuatu akta seperti ini.

Kalau betul-betul serius ada keskes tertentu, undang-undang pun ada dan kalau sangat mendesak, Dewan i ni juga boleh membincangkan mana-mana kes tertentu seperti yang disebut oleh Tuan Yangdi-Pertua tadi, kita bincang hal banjir dalam Dewan ini. Besarlah itu.

Kalau ada betul-betul satu ancaman besar, maka kita boleh adakan sidang khas. Manalah tahu kalau ada orang-orang besar tertentu terkait dengan masalah keselamatan ini.

Saya hendak mengajak semua termasuk Menteri, tarik baliklah usul ini dan kita hapuskan
terus undang-undang ini. Terima kasih.