Pelawak terkenal Amran Tompel meninggal dunia di hari terakhir kuarantin

Oleh NASUHA RAHMAN

Pelakon dan pelawak terkenal, Amran Tompel, 72, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.37 petang Sabtu di kediamannya di Senawang Negeri Sembilan.

Abang Allahyarham Amran, AR Badul berkata, adiknya sepatutnya menamatkan kuarantin selepas disahkan positif COVID-19 pada hari ini.

“Betul, Amran sudah meninggal dunia. Saya baru balik dari Perak. Setibanya di Kuala Lumpur, baru saya sempat baca mesej yang dihantar di WhatsApp berkenaan kematiannya.

“Saya terus bertolak ke Seremban. Kematian Amran berpunca sakit tua, masalah buah pinggang dan baru-baru ini, Amran positif COVID-19, kata AR Badul.

Allahyarham Amran merupakan saudara kandung kepada dua lagi pelakon tersohor AR Badul dan Adlin Aman Ramlie.

Mereka tiga beradik adalah anak kepada seniman tersohor, Allahyarham AR Tompel.

Dilahirkan pada 27 Oktober 1950 di Singapura, Allahyarham dilaporkan menghidap kanser usus sejak sekian lama

Allahyarham Amran meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.

Sementara itu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dalam kenyataan yang dikeluarkan menyifatkan, Allahyarham Amran merupakan seorang anak seni berbakat besar.

Persatuan itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas pemergian seniman itu.

Seniman juga akan terus mendapatkan perkembangan lanjut mengenai masa pengebumian jenazah Amran daripada keluarga Allahyarham.

Baca juga