Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disahkan negatif dalam ujian saringan kendiri Covid-19.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata demikian mengulas dakwaan kononnya isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dijangkiti Covid-19.
“Hari ini Kak Wan telah menjalani ujian saringan kendiri Covid-19 dan Alhamdulillah beliau negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, media memetik sumber petugas parti sebagai berkata bahawa Wan Azizah positif Covid-19.
“Maklumat itu tidak benar.
“Kak Wan uzur semalam dan terpaksa berehat, maka tidak dapat merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Keadilan Lembah Pantai,” jelasnya.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menggantikan Wan Azizah pada saat akhir.
“Saya doakan agar Kak Wan dan kita semua sentiasa dilindungi dari wabak ini,” kata Fahmi lagi.