Asasnya politik bukanlah kotor tetapi pemimpin dan pendukung politiklah yang mencorakkan lukisan politik menjadi sama ada putih, kotor atau berwarna-warni di atas kanvas sebuah perjuangan demi untuk agama, bangsa, negara atau setakat momokan perjuangan individu tertentu sahaja.
Politik Malaysia jika dilihat dari dahulu hingga kini memang banyak warna-warninya. Jika dahulunya parti politik merupakan lawan atau seteru kini boleh pula jadi rakan mesra seangkatan.
Dikatakan begitulah pasang surut dunia politik, mengikut corak juga rencana pemimpin-pemimpinnya. Seharusnya pendukung dan penyokong tegar janganlah terlalu taksub.
Jika dulu parti lawan mungkin dikatakan musuh, kelak mana tahu pada masa akan datang menjadi rakan seperjuangan, bersama menjayakan misi-misi suci bersama panji-panji dengan janji-janji saban hari.
Suatu ketika dahulu dunia politik Malaysia dimeriahkan dengan kehadiran beberapa figura terkenal yang sering terpapar di dada media utama dan sosial di mana mereka menyatakan bantahan secara terbuka terhadap dasar atau tindakan tidak popular sama ada kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan.
Mungkin ini sebagai strategi parti pembangkang ketika itu, atau sebagai satu bentuk propaganda secara selamba, santai atau sinis untuk mengketengahkan isu yang ketika itu dipandang remeh atau tidak tiada tindakan efektif dari kerajaan yang memerintah.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung baru-baru ini memberi suatu dimensi atau nafas baharu kepada parti-parti yang bertanding untuk membentuk atau merangka gerak kerja akan datang agar gerakan lebih padu dan tersusun.
Namun, pelbagai insiden sebagai contoh membakar bendera parti lawan membuatkan penulis terfikir, setelah sekian lama merdeka dan memerintah negara sendiri dengan pucuk kepimpinan daripada bangsa Malaysia sendiri dan bukan lagi di bawah kekuasaan penjajah, sampai bilakah bangsa Malaysia akan lebih matang dalam berpolitik?
Politik diberi maksudnya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai cara pemerintahan negara. Namun, politik juga didefinisikan sebagai kelicikan, muslihat, juga tipu muslihat.
Jadi, dilihat dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai kepimpinan utama negara dan negeri, pemimpin politik dilihat menggalas tanggungjawab yang berat dan seharusnya disokong dan didukung oleh penyokong, rakyat juga penjawat awam.
Sudah sampai masanya pemimpin dan rakyat Malaysia berfikiran lebih terbuka dalam memajukan diri antaranya melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan lalu mempamerkan sikap matang dalam berpolitik terutamanya menjelang pilihanraya akan datang.
Dalam pengucapan awam menyampaikan aspirasi juga manifesto untuk membentuk sesuatu kerajaan baru, parti politik terutamanya pemimpin sendiri perlu bersikap matang dalam membicarakan apakah halatuju parti politik atau kerajaan yang bakal dibentuk.
Sikap mengutuk dan menjatuhkan parti atau calon lawan secara peribadi samada secara siaran media utama atau media sosial perlu dihentikan. Cara sesuatu parti politik itu bertindak itu seharusnya melambangkan satu persetujuan dari pemimpin atasan juga penyokong di peringkat akar umbi.
Oleh itu segala amanat, hasrat dan aspirasi parti politik perlulah jelas dan teguran dari parti lawan perlulah secara lebih telus, berhemah dan membina.
Di Britain sebagai contoh, apabila diadakan debat di Parlimen secara terbuka, maka para pemimpin akan menghujahkan isu-isu penting yang dibawa oleh parti samada Konservatif atau parti Buruh, yang membawa suara akar umbi.
Debat ini akan membidas kepincangan atas segala dasar, polisi juga tindakan yang boleh dilihat dan dinilai rakyat jelata, bahawa parti manakah yang benar-benar akan membawa harapan juga aspirasi mereka.
Jika parti yang dipuja terlihat lompong dan kosong juga tiada berdaya, maka dengan prinsip kebebasan berpolitik dan bersuara, mereka mungkin berubah arah untuk menyokong parti lain atau parti baru yang lebih dipercayai.
Undi secara pos pula dijalankan dengan cara terpercaya tanpa kerisauan berlaku manipulasi undi pos dan sebagainya. Ketika minggu pengundian parti-parti politik diberi peluang dan ruang yang sama untuk muncul di khalayak ramai bagi menyatakan apakah manifesto mereka.
Ceramah-ceramah politik juga diadakan tetapi tidaklah semeriah atau segah di Malaysia. Di Malaysia ditambah lagi dengan perang poster dan bendera sebagai strategi politik dan kempen pemilihan calon dan sebagainya. Di Britain boleh dibilang dengan jari poster dan bendera parti yang dikibar semasa musim pilihanraya samada pilihan raya tempatan atau negara.
Persoalannya ialah adakah banyaknya poster dan bendera menggambarkan sokongan atau kemenangan sesuatu parti politik tersebut? Seperkara lagi di Britain barangkali isu penggunaan wang untuk poster dan bendera pasti diaudit secara telus dan terbuka.
Cara sebegini mengelakkan pengaliran wang yang tidak perlu dari parti yang menguasai negeri atau negara dari menyalahgunakan wang untuk tujuan poster dan bendera bagi meraih sokongan rakyat.
Politik Malaysia seharusnya bergerak ke arah yang lebih matang. Kita bukan sehari dua merdeka dan bukan juga sehari dua menjalani pilihan raya.
Oleh itu, apakah peranan yang perlu dimainkan pemimpin politik juga pendukung juga penyokong parti?Seharusnya, isu-isu sensitif sebagai contoh isu perkauman tidak lagi sah dijadikan modal acapkali pilihanraya.
Pertumbuhan pelbagai parti baru terutamanya oleh golongan muda yang mungkin dilihat kurang matang oleh veteran politik. Namun banyak perkara boleh dipelajari dari parti baru ini untuk mengenepikan agenda sendiri dan menyelami hati rakyat. Parti yang harus didokong dan disokong bukanlah semestinya parti atau calon yang popular, tetapi parti yang memahami apakah kehendak dan aspirasi rakyat demi untuk memajukan agama, bangsa dan negara juga mengenepikan kepentingan sendiri , peribadi dan kroni.
Oleh itu pengundi perlulah lebih kenal calon atau parti yang hendak didokong dan disokong, dengan proses pengucapan manifesto yang lebih telus , agar masing-masing mendapat peluang yang adil dan samarata juga berjaya menyatakan secara jelas akan aspirasi dan harapan pada kerajaan akan datang.
Jika semua pengundi telah jelas dengan semua isu berbangkit sebelum pilihanraya, maka perlukah lagi bendera dan poster parti yang harganya dikatakan mencapai jutaan ringgit?Persoalannya seterusnya ialah dari mana datangnya dana untuk poster dan bendera tersebut?
Adalah lebih baik dana untuk poster dan bendera digunakan atau disalurkan ke arah yang lebih bermanfaat untuk masyarakat setempat.
Jika anda seorang pemimpin yang masyhur atau tidak, tetapi jika cara kerja anda disenangi masyarakat setempat, maka poster dan bendera itu tidak perlu untuk mempromosikan parti dan calon tersebut.
Prestasi ahli dewan undangan negeri atau ahli parlimen yang mendapat elaun bulanan pula, dinilai secara yang lebih menyeluruh, iaitu bukan hanya muncul atau menampakkan muka menjelang pilihanraya.
Prestasi ADUN dan MP yang konsisten juga kehadiran ketika perbahasan di sidang Parlimen atau DUN juga menunjukkan tahap prestasi pemimpin tersebut.
Nah, sekali lagi saya tanyakan? Jika semua isu kepimpinan di atas telah jelas dan tanggungjawab kepimpinan dijalankan secara tidak culas maka perlukah poster dan bendera?
Baca juga: https://malaysiadateline.com/kibar-bendera-putih-selepas-buntu-tiada-wang-makanan/