Tekanan kepada PM kuat, BN-PN sedang menusuk jarum agar PH pecah

Oleh ARIF ATAN

Tekanan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri (DSIS) agak kuat sekarang, terutama selepas undi belah bahagi Rang Undang-Undang penyambungan SOSMA tewas dengan kelebihan hanya satu undi.

Kluster Mahkamah agak kuat mendesak, mungkin mencari ruang kelegaan supaya proses bebas kes mungkin boleh berlaku dengan tertubuhnya kerajaan baharu yang dikuasai Barisan Nasional (BN).

Kluster bukan menteri juga agak kuat mendesak supaya pasukan ahli parlimen baharu dapat menyahkan kluster menteri sedia ada.

PRU kali ini mungkin agak menarik terutamanya kita menyaksikan peratus keluar mengundi yang agak rendah pada PRN Melaka dan lebih-lebih lagi Johor.

Sekiranya corak (trend) ini berterusan maka BN akan kembali berkuasa dan meneruskan legasi kronisme, nepotisme, mengaut laba dan tidak mustahil penyalahgunaan kuasa dengan skala lebih besar bakal disaksikan untuk satu tempoh sekurang-kurang lima tahun akan datang.

Pasca PRU 15 juga akan menyaksikan kluster mahkamah sama ada yang telah dijatuhkan hukuman atau yang masih menunggu keputusan, akan bebas sebebas-bebasnya dengan kes digugurkan atau disebaliknya. Yang amat hampir pasti bahawa jika BN memerintah kembali akan berlaku perubahan dan politk balas dendam akan berlaku dengan parah sekali.

Dipihak Umno/BN pula akan menyaksikan samada Presiden Umno kini akan mengambil tampuk pemerintahan atau DSIS akan terus menerajui negara.

Atau adakah kemungkinan DSIS akan memegang sementara sehingga Boss Ku dan Presiden UMNO disucikan dari palitan kes rasuah dan salahguna kuasa!

Keberangkalian ini berlaku adalah hampir satu kepastian sekiranya BN berkuasa kembali. DSIS tidak langsung mempamerkan satu kekuatan untuk terus menerajui negara dan begitu juga anggota kabinet kitar semula yang langsung tidak mempamerkan kekuatan idealisma dan pengurusan negara dengan amalan terbaik (best practice).

Kebanyakan hanya berbangga dengan duduk di kerusi empuk kementerian tanpa bersungguh-sungguh membina negara pasca Covid-19. Ramai juga antara menteri yang tidak dikenali atau ghaib dari kemunculan agresif untuk membina negara, melainkan hanya untuk mempamer keagahan kuasa.

Perhatikanlah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Luar Bandar, Tugas-tugas Khas, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi yang langsung tidak memberikan impak besar dan segera selepas jatuhnya kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin (TSMY).

Kemunculan seringkali Menteri Komunikasi dan Mulitimedia dikaca TV lebih kepada retorik untuk memperaga diri bimbang dikalangan 70 peratus yang gugur untuk diganti dengan muka-muka baharu seperti yang bangkit dalam Perhimpunan Agong UMNO tempohari.

Yang lebih menarik juga adalah apakah nasib rakan kumpulan pengkhianat yang terdiri dari kumpulan TSMY dan Azmin Ali. Adakah mereka akan memilih menjadi pembangkang atau kumpulan mesra BN.

Bagi Pas, pendirian mereka tidak dibimbangi kerana mereka boleh bermain dan bermandian dalam beberapa kolam. Bagi mereka semua kolam akan menjadi halal asalkan boleh duduk ditampuk kekuasaan. Adakah UMNO/BN akan mengizinkan PAS yang tak tentu arah tujuan ini menjadi rakan strategik?

Jika dahulu berpegang kepada kaedah matlamat tidak menghalalkan cara, apa pula kaedah syara’ akan difatwakan pasca PRU15. Adakah kenyataan dahulu pernah mengharamkan mengundi UMNO/BN hingga kiamat, namun kita bermut’ah bersama UMNO/BN halal lagi suci?

Kita tidak pasti kerana kita telah menyaksikan yang dahulu haram menjadi halal dan yang dahulu dahulu halal kini mungkin menjadi haram.

Pakatan Harapan (PH) pula seakan terikut rentak alunan politik semasa. Termakan dengan gerak-saraf UMNO/BN dan juga PN untuk meranapkan kesepakatan PH. PH sedang cuba dipecahkan sehingga hancur lebor.

Pemilihan kepimpinan PKR sedang disusupi oleh kumpulan kartel yang masih ada didalam. Sekiranya kepimpinan tidak sedar maka pasca pemilihan PKR akan menyaksikan leburnya kekuatan PKR. Pertandingan ini dijadikan medan oleh kartel untuk menyusupkan api kebencian, perseteruan dan seterusnya memberikan gambaran awam akan kehodohan isu dalaman PKR.

Anasir-anasir jahat ini akan cuba mencucuk dari semua arah bagi memastikan kekuatan kelompok reformasi dipecah-belahkan kepada pelbagai kumpulan. Bagi penulis, pertandingan dan pertembungan dalam memilih kepimpinan tertinggi PKR hendaklah diharmonikan segera dan ‘orang-orang tua’ hendaklah memainkan peranan penunjuk arah.

Bukan terikut menyebelahi tanpa usul periksa dan yang penting bagi ‘orang-orang tua’ memastikan virus kartel yang masih ada dibasmi atau dinyah-rawat.

Pemilihan DAP menyaksikan perubahan yang boleh dikatakan membawa era baharu dengan Saudara Anthony Loke menerajui DAP sebagai Setiausaha Agung. Beberapa muka baharu muncul dan beberapa muka lama tidak mendapat jumlah undi yang mencukupi.

Akan tetapi pengharapan rakyat Malaysia agar DAP memberi nafas dan warna baharu yang boleh diselesai oleh semua golongan rakyat Malaysia dan sebagai anggota terpenting PH.

Golongan berminda kolot dengan kebencian agama yang melampau tidak lagi sesuai dalam masyarakat serba bermaklumat dan berpengetahuan. Golongan yang mencipta penipuan dan pemesong maklumat juga tidak memberi apa-apa kebaikan kepada DAP dan PH.

AMANAH hendaklah kekal dengan konsep ‘Rahmatan lil Alamin’ dengan pengertian dan rohnya yang sebenar. Bukan dengan tafsiran mengikut selera politik tanpa mengendahkan pendapat paling muktabar dalam menerapkan prinsip rahmat sekalian alam.

Janganlah kerana haloba politik hingga terlihat pandangan kita sekolah-olah menjurus kepada membelakangkan agama. Hikmah dan kebijakan hendaklah diutamakan, namun ia perlu selaras dengan prinsip utama Islam.

Maka, bagi menangani suasana politik semasa, PH wajib memahami bahawa UMNO/BN dan malah PN sedang menusuk jarum agar PH pecah dan dimusnahkan dengan apa cara sekali-pun.

Jangan ikuti rentak irama mereka. Idea payung besar atau juga jajaran politik baharu perlu ditangani dengan cermat. Ingatlah pengkhianat masih berlegar, UMNO/BN juga tidak pantas untuk diterima janji mereka sepertimana isu ‘cukup bilang’ atau ketika hendak menjatuhkan TSMY.

Mereka adalah kumpulan ahli politik licik yang akan menghalalkan apa jua cara untuk berkuasa. Mereka telah berijab-qabul dengan BERSATU, pengkianat dan juga PAS, akhirnya semua ikatan itu terungkai dengan pelbagai helah.

Janganlah kepimpinan PH terutamanya Pengerusi Majlis Presiden PH terpesona lagi dengan janji-janji keji mereka. Hikmat, kebijakan dan ketajaman akal perlu digunakan untuk melakar keputusan yang terbaik, bercakaran hanya akan memudahkan lawan menerkam anda.


*Penulis merupakan Felow Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan. Walaubagaimanapun rencana ini tidak mewakili pandangan atau pendirian akademi.