Ahli Parlimen AMANAH terus memanfaatkan keberkatan Ramadan dengan pelbagai aktiviti sekali gus menyebar rahmah sepanjang bulan mulia ini.
Segenap lapisan masyarakat disantuni dalam program yang dianjurkan.
Di KOTA RAJA, Mohamad Sabu malam tadi dapat menyempurnakan solat tarawih bersama para jemaah di Surau Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom.
“Ini merupakan hari kedua berjemaah bersama warga Kota Raja. Kita sengaja tidak memberi makluman awal kepada pihak surau kerana tidak mahu menyusahkan mereka untuk membuat apa-apa persediaan,” dipetik dari Facebook Mohamad.
Dalam majlis sama, Mohamad turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000 untuk moreh dan jamuan surau serta sumbangan berupa kurma dan buah-buahan kering dari Timur Tengah.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Pengerusi Surau, Tuan Haji Mohd Noh Bojamin berserta AJK dan jemaah di atas sambutan malam ini,” kata Mohamad.
Bulan Ramadan ini juga pastinya bermakna buat rakyat di PULAI khususnya ahli kariah Masjid Damansara Aliff.
Ahli Parlimennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM35,000 bagi tujuan pembangunan masjid itu.
Sementara itu, 160 keluarga di POKOK SENA semalam menerima sumbangan barang keperluan harian sempena Ramadan dari Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pokok Sena.
Mereka terbabit dari sekitar Kampung Bukit Pak Kiau,Kampung Tok Keling dan Kampung Yoi.
“Semoga sumbangan tanda ingatan ini memberi kegembiraan kepada semua keluarga yang menerima,” kata Datuk Mahfuz Omar.
Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu memberitahu beliau juga telah meluangkan masa bertanya khabar peniaga Bazar Ramadan di Stadium Darulaman pada hari pertama ibadat puasa, kelmarin.
“Marilah kita tingkatkan ibadah bersama-sama keluarga dan masyarakat. Semoga kita sama-sama menerima keberkatan di bulan Ramadan ini,” kata Mahfuz lagi.
Di PARIT BUNTAR, sebanyak 5,000 pek kurma dan takwim berbuka puasa diedar dari rumah ke rumah di taman-taman perumahan dan melalui AMANAH Cawangan yang diedar di kampung-kampung.
Ahli Parlimennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sempat menyantuni pengunjung dan peniaga Pasar Ramadan Taman Kerian Permai.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mendoakan agar peniaga Pasar Ramadan tahun ini memperolehi rezeki yang bertambah.
Lebih 30 penerima di Program Jalinan Mesra Ambang Ramadan Alam Jaya di KUALA SELANGOR pula menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Turut hadir dalam program sehari sebelum 1 Ramadan itu ialah Penghulu Mukim Ijok, Tok Husain Idris; Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Jaya (PPTAJ), Mohd Nooraizan; Penolong Amil Kariah, Mohd Nizam dan Pengurus Pejabat Penyelaras DUN Jeram, Ustaz Nagmudin.
“Tahniah dan terima kasih para penyumbang, semoga ianya dapat membantu meringankan beban para penerima bagi persiapan sambutan Bulan Ramadan,” dipetik laman rasmi Facebook, Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kuala Selangor.
Ketibaan Ramadan juga dilihat bersemarak di SHAH ALAM dengan Ahli Parlimennya, Khalid Samad menyertai majlis tahlil dan bacaan Yassin.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu juga menyantuni peniaga dan pengunjung yang sedang membuat persiapan menyambut Ramadan di Pasar Tani Seksyen 17.
Sejumlah pek kurma turut diedar dengan kerjasama Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Shah Alam.
“Marilah sama-sama kita lipat gandakan amal ibadah kita pada tahun ini. Beribadatlah semahunya jika kita tahu ini Ramadan terakhir buat kita semua,” kata Khalid.
LANJUT MENYUSUL
Baca juga: https://malaysiadateline.com/salahuddin-ayub-yang-ku-kenali/