Siti Bainun ‘meletup’ di media sosial, peguamnya dikecam warganet

Oleh ARIF ATAN

Nama Siti Bainun sedang ‘meletup’ dan sohor kini di media sosial manakala peguamnya pula dikecam warganet ekoran kes dera dialami remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.

Hampir 14,000 ciapan di Twitter dan kira-kira 42,000 orang di Facebook memperkatakan tentang pengasas Rumah Bonda itu setakat jam 4.15 petang tadi.

Orang ramai rata-ratanya mengkritik Siti Bainun Ahd Razali, 30, susulan pendedahan demi pendedahan di mahkamah berhubung nasib dialami Bella termasuk dicili, dijirus dengan air panas dan diikat.

“Budak tu pun Sindrom Down, memanglah kurang akalnya. Takkan orang yang cukup akalnya sanggup buat perkara kejam dan zalim!” tegas Sabariah Abd Wahab.

Sementara itu, pengguna Facebook, Nasaruddin Hassan Nasa pula menulis, “Macam mana dia (Siti Bainun) boleh buka rumah kebajikan kalau tiada sifat kesabaran? Buat nanya saja.”

Dalam masa sama, peguam Siti Bainun, Hafidzah Hassan turut menjadi sasaran kecaman warganet apabila membuat bebenang di Twitter susulan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19.

“Tak kisahlah nak jadi peguam kepada Siti Bainun sekalipun (hak dia sebagai peguam). Tapi thread ni sangat tak perlu, and to prove what point exactly,” komen pengguna Twitter, @fqihahauni.

Sementara itu, mahkamah hari ini diberitahu bahawa Siti Bainun mula tidak sukakan Bella selepas kejadian langsir bilik ditarik hingga besi tercabut.

Sejak kejadian itu, Siti Bainun mula marah-marah dan memukul Bella, namun Yasmin, ketika prosiding pagi tadi berkata, dia tidak mengetahui motif tertuduh mahu mendera Bella.

Menurut Yasmin semasa pemeriksaan balas oleh peguam Asiah Jalil yang mewakili Siti Bainun, Bella didera secara secara mental pada bulan Februari 2021 manakala fizikal bermula Mac 2021.

Saksi itu juga berkata, dia pernah diarah oleh Siti Bainun untuk mengikat Bella dan membogelkannya sebelum dicurah dengan air panas selain memastikan Bella tidak bergerak dan menyasarkan air panas itu di bahagian tertentu.

Pada 30 Mac lalu semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas, rakan baik Siti Bainun memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa Bella ada menceritakan dia dicili, dijirus dengan air panas dan diikat.

Pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin, 39, berkata Bella yang dilihat berada dalam keadaan trauma memaklumkan insiden itu ketika mereka berada dalam ambulans untuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Zurianty memberitahu, Bella adalah orang kurang upaya (OKU) yang diambil oleh Siti Bainun untuk dijadikan anak angkat pada Julai 2020.

Sejak itu, jelasnya, Bella tinggal bersama Siti Bainun dan remaja berusia 13 tahun itu berada di bawah tanggungjawab wanita berkenaan.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di ibu negara antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Baca Aktivis mohon Pengerusi Bernama siar liputan perbicaraan empat hari Bella

Baca Tergamak liwat anak sendiri, lelaki berusia 51 tahun ditahan