Dari mana sebenarnya asal usul nasi arab? Nasi arab sering menjadi menu pilihan umat Islam ketika bulan Ramadan sehingga ada yang sanggup beratur panjang di tengah-tengah panas semata-mata mahu mendapatkan nasi arab.
Baru-baru ini viral nasi arab daripada chef terkenal sehingga ada yang sanggup beratur seawal jam 1 tengah hari bukan itu sahaja, ada juga yang sanggup potong barisan dan bergaduh hanya untuk nikmati secebis nasi arab bersama lamb shanks.
Tahukah anda, hakikatnya nasi bukanlah makanan ruji kepada masyarakat Arab kerana mereka telah menjadikan roti sebagai hidangan utama sejak zaman berzaman.
Kalau nasi bukan makanan rugi di rantau Arab ataupun Timur Tengah, macam mana nasi yang dimasak bersama daging, kekacang, sayur dan buah ini boleh tercipta?
Berdasarkan laporan The Patriot Asia, sebenarnya nasi arab merupakan salah satu fusion pilaf yang berasal daripada Tamadun Parsi. Pilaf ini telah tersebar dari Asia Tengah ke Benua Amerika sehingga menjadi kegemaran masyarakat dunia.
Cerita terawal mengenai pilaf dikatakan wujud apabila Alexander The Great telah memulakan operasi penaklukan Parsi pada tahun 330 SM. Alexander The Great dan tenteranya sangat tertarik dengan keenakan pilaf yang dimakan oleh orang Parsi lantas membawa makanan itu pulang ke Macedonia.
Namun, cerita ini hanya dianggap sebagai dongeng di malam hari sahaja.
Jadi rekod rasmi tentang keberadaan pilaf telah wujud semenjak era khalifah Abbasiyah di Baghdad.
Masyarakat Abbasiyah dianggap pemula kepada masakan pilaf era moden. Cara masakan daripada masyarakat Abbasiyah inilah yang kemudian telah tersebar sehingga dikenali dengan pelbagai nama.
Mungkin ketika itu masyarakat Abbasiyah dan empayar lain sanggup beratur seawal tengah hari di bazar Ramadan Baitul Hikmah untuk menikmati pilaf semasa berbuka.
Bagi masyarakat Parsi pula, Ibnu Sina adalah orang pertama mencatatkan resepi moden pilaf secara lebih terperinci pada abad ke-10. Jadi Ibnu Sina boleh digelarkan sebagai bapa pilaf dunia.
Berlainan pula dengan masyarakat India kerana masakan seakan-akan pilaf telah wujud dalam epik Mahabharata. Malah perkataan “pulao” ataupun “pallao” yang merujuk kepada pilaf sebenarnya berasal daripada karya Sanskrit kuno iaitu Yājñavalkya Smṛti.
Walau bagaimanapun, pendapat ini disanggah kerana rekod mengenai pilaf hanya muncul di sana selepas India ditakluk ketika era pertengahan.
Senang cerita dari pilaf inilah masyarakat Arab mula menghasilkan nasi versi mereka sendiri. Antara nasi Arab yang popular adalah kabsah, mandi dan maqluba.
Kabsa merupakan pilaf yang berasal dari Yaman dan makanan paling popular di negara-negara semenanjung Arab.
Secara asasnya kabsa dimasak bersama-sama rempah ratus, daging, nasi dan sayur-sayuran. Nak menambahkan lagi selera, kabsa akan dihidangkan di atas talam untuk dimakan beramai-ramai bersama rakan.
Mandi pula adalah pilaf daripada Hadramaut Yaman yang sangat popular di dunia Arab, Turki dan India.
Cara memasak mandi ini kelihatan agak sama sahaja dengan kabsa tetapi uniknya adalah daging akan dimasak secara tandoor. Bermakna mereka akan menggali lubang dalam tanah untuk membakar daging.
Hari ini cara itu tidak digunakan lagi kerana tempayan tanah liat adalah alternatif terbaik untuk memasak daging dan ayam secara tandoor.
Mungkin anda merasakan mandi unik? Ada lagi pilaf yang unik iaitu maqluba. Seperti mandi dan kabsa, maqlubah masih menggunakan rempah ratus, daging, nasi dan daging.
Bezanya adalah kesemua bahan tersebut disatukan dalam periuk dan diterbalik ke atas talam. Jadi maqluba akan terbentuk seakan-akan kek.
Tambah menarik lagi, pilaf yang dimasak oleh masyarakat Abbasiyah merupakan maqlubah. Maka bolehlah anggap pilaf yang wujud di seluruh dunia pada hari ini adalah fusion daripada maqluba.
Kesimpulannya, berterima kasihlah kepada Alexander The Great, masyarakat Abbasiyah dan Ibnu Sina kerana mengangkat pilaf.
Jika tidak kerana mereka, mungkin hari ini anda tidak dapat beratur panjang untuk makan secebis nasi arab yang dituduh sebagai harga Tel Aviv oleh segelintir netizen.