Ramai yang saya lihat buat hantaran komen dan ulas lukisan yang dibeli oleh Sultan Selangor yang menggambarkan suasana dalam Dewan Rakyat yang dipenuhi monyet, kera, orang utan, katak dan binatang lain.
Bagi saya, lukisan itu “real” oleh pelukis meluahkan rasa dan pandangan beliau terkait apa yang ada di Dewan Rakyat.
Kita tidak perlu nak rasa terlalu sensitif atau konon-kononnya terguris hati dek lukisan tersebut. Ianya suatu tunjuk rasa kreatif oleh pelukis.
Kenapa tidak perlu nak terasa atau terguris? Kenapa nak disalahkan dan dikutuk pelukis?
Tidakkah kita juga ada masanya menggelar ahli-ahli Dewan umpama binatang?
Kita gelar dan panggil ahli Dewan yang melompat parti seperti Timbalan Speaker Rashid Hasnon dan rakan-rakan sebagai katak?
Bukankah kita malah ada dalam kalangan ahli Dewan sendiri ada kalanya panggil rakan-rakan ahli Dewan sebagai katak?
Tidakkah kita juga kadang-kadang gelar gelagat ahli Dewan seperti Bung Mokhtar dan Rayer sebagai monyet yang terkinja-kinja dalam Dewan?
Kenapa bila kita gelar, kita sebut, kita kata ianya tidak salah dan bermoral tetapi apabila orang lain lukis kita kononnya hendak terasa, terguris dan terhina?
Janganlah hipokrit dan “double standard”. Terimalah hakikat dengan hati terbuka dan positif bahawa itu sebahagian dari pandangan orang hasil pemerhatian mereka tentang institusi Parlimen kita.
Kita tidak perlu nak terlalu terasa malah sepatutnya kita desak ahli-ahli Dewan supaya menjaga imej, watak dan integriti mereka di Dewan.
Mereka sendiri yang menyebabkan orang luar gambarkan mereka begitu. Biar mereka sedar bahawa itulah mereka pada pandangan orang di luar.
*ZULHAZMI SHARIFF merupakan seorang peguam juga Naib Pengerusi DAP Kedah. Artikel ini dipetik dari hantaran beliau di Facebook.
Baca Siap ada katak, baik punya sindir’, orang ramai teruja lihat lukisan dibeli Sultan Selangor