Saya telah hubungi salah seorang peguam pemerhati kes Bella yang kebetulan rakan saya. Saya pun bukan berniat untuk berkongsi rasa atas landasan perundangan tetapi lebih kepada luahan perasaan sebagai seorang bapa kepada anak syurga Sindrom Down.
Saya dianugerahkan dengan seorang anak Sindrom Down, namanya Arman. Cuma tidak sempat lama bersama sebelum Allah ambil semula.
Sejak itu, saya lihat semua anak Sindrom Down, pasti akan buat saya berhenti, menyapa dan sekurang-kurangnya memberikan satu tamparan hi-5 kepada mereka. Sekalipun tidak lama menikmati anugerah terbaik itu, tetapi ia laluan buat saya lebih kenal anak-anak Sindrom Down.
Anak Sindrom Down adalah anak istimewa yang lebih jujur dalam kasih sayang. Mereka kalau sayang kita, mereka sayang tanpa syarat. Sebab itu, mereka sangat dikenali sebagai makhluk paling penyayang.
Mereka tidak pandai menipu, kalau mereka cuba menipu pun, kita boleh tahu namun sayang, jarang persaksian mereka diterima orang sedangkan orang yang cukup sifat lebih pandai memutar belit berbanding anak-anak istimewa ini.
Namakan saja Sindrom Down, autistic, atau anak-anak yang kononnya ditakrif sebagai OKU Pembelajaran. Nak jadi penipu ni, kena bijak ye saudara saudari sekalian.
Tapi sayang, penyaksian golongan yang layak jadi penipu ini yang lebih dipandang legit berbanding yang dilahirkan tidak pandai mengolah. Hitam dia cakap hitam, biru dia cakap biru.
Isu Bella, satu yang pasti ialah anak ini didera dan cedera. Soal siapa yang mendera itu yang perlu dicari. Proses perundangan cuma nak menentukan adakah OKT yang mendera atau ada orang lain?
Tetapi bukanlah menolak kemungkinan sebenarnya Bella tidak didera. Sindrom Down bukannya penyakit gila. Cuma terlebih kromosom menyebabkan anak ini istimewa.
Saya sangkal kalau ada yang kata, anak ini mencederakan diri sendiri. Kita boleh tolak kemungkinan ini. Maka, kemungkinan yang tinggal ialah, Bella dicederakan oleh orang. Dan orang itu, yang perlu kita cari untuk menerima balasan.
Saya tidak berani untu membenci OKT terlalu awal kerana beliau belum terbukti bersalah dan mungkin akan ada plot twist.
Namun tak dapat lari juga dari persepsi kerana orang kena tuduh (OKT) berada di tempat yang tepat untuk dikaitkan dengan penderaan Bella.
Saya fikir, orang lain pun begitu juga fikirannya. Paling tidak, pengabaian (negligence) juga satu kesalahan yang perlu Siti Bainun pikul.
Kalau ada plot twist yang logik dan bukan setara twist sinetron dari seberang. Jika boleh difikirkan pun mungkin tiba-tiba Siti Bainun didapati mempunyai masalah sakit mental dan kemudian terlepas dari hukuman.
Seperti ada rasa kepelikan, apabila tiga hari pertama perbicaraan seperti tiada liputan media langsung sehingga Aliff Ahmad dan Mona mengamuk kenapa satu kes tumpuan masyarakat ini tidak mendapat laporan media.
Kemudian barulah media dan sosial media memberi tumpuan kepada kes Bella ini. Ahli silap mata boleh melesapkan seekor gajah di atas pentas dengan membuatkan orang tidak perasan akan gajah itu.
Tentang body shaming kepada Siti Bainun, pada saya itu satu perkara tidak bermoral. Kita tidak akan jadi orang lebih baik jika orang buat perkara tidak bermoral, kita pun balas dengan cara tidak bermoral juga.
Apabila seseorang sudah mencarut, dibalas dengan carutan juga tidak menjadikan carutan kedua lebih mulia, tetapi sama sahaja.
Ada troll tentang Syed Azmi yang lantang melibatkan kes pada orang lain, dia berdiri menjadi jaguh tetapi apabila kes terkait beliau, terus diam seribu bahasa.
Yang ini warga maya perlu faham, kalau kes itu kes kita sendiri atau terkait dengan kita, kenyataan kita di luar mahkamah boleh mengganggu prosiding perundangan.
Namun, kalau kita tidak ada kena-mengena dengan kes, hanya sebagai pihak tiada kaitan, tidaklah sampai mengganggu prosiding mahkamah. Rasanya, ini asas sahaja.
Sekiranya OKT didapati bersalah, saya fikir tiada hukuman yang setimpal kalau sekadar kena denda dan duduk di penjara sebentar. Sebaiknya, elok setiap parut dera, setiap trauma mental diganti semula seadil-adilnya. Jika Bella dipaksa makan najis sendiri, kita pastikan yang bersalah makan najisnya sendiri.
Sebagai salah seorang filantrofis yang menjaga anak yatim, warga emas, OKU, ibu-ibu tunggal dan ramai golongan asnaf di Rumah Pengasih Warga Prihatin, saya sarankan kepada mereka yang tidak ikhlas untuk tidak meletakkan tangan mereka kepada kerja ini.
Ini kerja yang berat tetapi jika kita gembira lakukannya dengan ikhlas, yang berat juga jadi ringan. Tapi jika buatnya untuk sekadar menjadi sumber pendapatan, kita yang akan stress dan akhirnya stress itu ditukar kepada penderaan.
Saya bukan jenis bapak yang tak titik tangan anak kalau degil. Kita bapak tradisional yang masih percaya akan kuasa rotan. Namun, kegunaan rotan ini sebagai buffer kemarahan.
Tiada lagi kes budak mati kena rotan kecuali rotan penjara yang besar dibalun belakang kepala, yang itu memanglah boleh meninggal. Merotan untuk mendidik, bukan untuk lepas geram.
Selalunya rotan itu pun singgah di pintu, atas meja dan lantai lebih dari ‘dititik’ atas kulit. Namun, kalau dah anak istimewa, kena faham mereka ada kelebihan dan ada juga kekurangan.
Jangan kau marah ikan kerana tak pandai panjat pokok seperti spesis kamu yang suka bergayutan dari dahan ke dahan.
Fitrahnya, ikan akan pandai berenang tapi tak pandai memanjat. Yang layak dirotan sekalipun jenis yang berakal yang pandai nak mengakal orang, bukannya anak istimewa begini, apatah lagi didera secara fizikal dan mental.
Saya harap, perundangan di Malaysia tidak hentikan kes ini atas sebab-sebab teknikal tetapi carilah keadilan sehingga keadilan itu mampu berdiri lebih tegak dari benang basah yang ditopang oleh barisan peguam-peguam yang aneh.
Semoga keadilan untuk Anakku, Bella.
Baca Siti Bainun ‘meletup’ di media sosial, peguamnya dikecam warganet
Baca Duit hilang dari akaun bank, ini cara untuk dapat semula