Pesawah berjaya tangguh hukuman penjara 7 tahun selepas petik kes Najib Tun Razak

Oleh NASUHA RAHMAN

Pesawah berjaya tangguh hukuman penjara 7 tahun selepas petik kes Najib Tun Razak. Hakim Mahkamah Rayuan bersetuju membenarkan permohonan seorang pesawah untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara tujuh tahun kerana menyebabkan kecederaan teruk kepada rakan sekampung sementara menunggu keputusan rayuan terakhirnya dengan memetik kes Datuk Seri Najib Tun Razak.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Hashim Hamzah.

“Kami bersetuju hukuman ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan terhadap sabitan dan hukuman,” kata Kamaludin.

Pesawah berjaya tangguh hukuman penjara 7 tahun selepas petik kes Najib Tun Razak
Memetik kes Najib pesawah berjaya tangguh hukuman penjara 7 tahun (gambar hiasan)

Mohamad Faiz Ruseli dibenarkan diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis Binjai di Kota Baru, Kelantan, dua minggu sekali sehingga rayuannya didengar.

Peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohamad yang mewakili Mohamad Faiz Mohd Ruseli telah memetik kes Najib yang disabitkan dengan tujuh pertuduhan rasuah membabitkan dana SRC International Sdn Bhd tetapi diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuannya selesai.

Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan memerintahkan dia dikenakan dua sebatan tetapi membenarkan permohonan Mohamad Faiz untuk penangguhan pelaksanaan hukumannya sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi, bagaimanapun, pada 14 Disember 2020, mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan menolak penangguhan pelaksanaan hukuman penjara Mohamad Faiz sementara menunggu rayuannya terhadap sabitan dan hukuman ke Mahkamah Rayuan.

Secara kebetulan, Mohamad Faiz dan Najib dijatuhkan hukuman oleh mahkamah berbeza atas pertuduhan berbeza pada hari yang sama pada 28 Julai 2020.

Dalam kes Najib, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan juga membenarkannya dibebaskan dengan jaminan RM2 juta.

Pada 8 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, juga membenarkan Najib menangguhkan pelaksanaan hukumannya dan denda sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan, dipetik Bernama.

Baca juga: Peguam penjenayah menegakkan keadilan

Baca juga: Penduduk Shanghai bunuh diri ekoran lockdown yang terlalu ketat