PLUS bagi penjelasan mengapa kita perlu beralih kepada RFID. Seperti yang kita tahu, pelekat RFID atau “Radio-Frequency Identification” pernah menjadi satu isu besar dalam kalangan pengguna yang banyak mengadu bahawa pelekat tersebut tidak efisyen dan menyusahkan.
Bagaimanapun, PLUS melalui artikel terbarunya seperti yang disiarkan Astro Awani, mereka memberi gambaran jelas dan tentu sekali akan menjawab pelbagai pertanyaan mengenai penggunaan RFID.
1. Bilakah sebenarnya PLUS memperkenalkan RFID di lebuh rayanya di seluruh negara?
Projek Rintis Awam Pembayaran Tol menggunakan RFID di lebuh raya di dalam bandar telah bermula pada Ogos 2017 antaranya melibatkan lebuh raya DUKE, Grandsaga, MEX, KESAS, Besraya, NPE, PLUS dan lain-lain.
Pada 1 Januari 2020, PLUS telah memperkenalkan transaksi tol RFID secara rasmi di 10 buah plaza tol Sistem Terbukanya iaitu Jitra & Kempas (Lebuhraya Utara-Selatan), Mambau & Lukut (Lebuhraya Seremban-Port Dickson), Lunas & Kubang Semang (Lebuhraya Butterworth-Kulim), Perling, Lima Kedai dan Tanjung Kupang (Lebuhraya Linkedua) serta Jambatan Pulau Pinang.
Pada Julai 2020, PLUS telah menjalankan Ujian Rintis Awam RFID di 9 plaza tol Sistem Tertutup di antara laluan Hutan Kampung dan Sungai Dua di utara dan berjaya dilaksanakan secara rasmi 16 bulan kemudian, pada 31 Oktober 2021.
Kemudian, mulai 15 Januari 2022, PLUS telah memperluaskan Ujian Rintis Awam RFID di Lebuhraya Utara-Selatan bermula Juru hingga Skudai, merangkumi jajaran sepanjang 650 kilometer.
Hasil daripada data ujian rintis awam ini, PLUS telah membuat penambahbaikan hasil daripada pembelajaran yang diperolehi dan meningkatkan kadar pengesanan peralatan RFID yang turut mencapai piawaian ISO IEC180000-6C dan mematuhi standard industri antarabangsa.
2. Adakah teknologi RFID dimiliki oleh PLUS atau Touch ‘n Go? Apakah perbezaan bidang kuasa kedua-duanya
Semua penyelesaian pembayaran tol (Toll Payment Solutions) yang terdiri daripada kad Touch ‘n Go, SmartTAG dan kini tag RFID, adalah milik Touch ‘n Go Sdn Bhd. Tag Touch ‘n Go RFID dan eWallet juga telah dinyatakan dengan jelas di Parlimen oleh Menteri Kerja Raya bahawa ia di bawah penyedia perkhidmatan, iaitu Touch ‘n Go Sdn Bhd.
Sementara itu, operasi lorong tol dan peralatan daripada palang pembaca gantri, kamera ANPR sehingga kepada Pusat Validasi Tol, berada di bawah bidang kuasa PLUS.
Touch ‘n Go RFID adalah pilihan pembayaran tol ketiga untuk pelanggan lebuh raya di samping pilihan sedia ada iaitu kad Touch ‘n Go dan SmartTAG. Ini memberi kemudahan kepada pelanggan untuk memilih kaedah mana yang lebih mudah untuk pilihan pembayaran tol mereka.
Walau bagaimanapun, mereka juga diingatkan untuk sentiasa menggunakan lorong pilihan pembayaran yang sama untuk masuk dan keluar daripada lebuh raya.
Sebagai contoh, jika pelanggan memasuki lebuh raya menggunakan lorong RFID, pelanggan tersebut juga mesti keluar menggunakan lorong RFID.
3. Supaya lebih jelas, mengapa pelanggan lebuh raya perlu beralih kepada RFID? Apakah faedah dan kemudahan yang boleh dinikmati?
Untuk jangka masa pendek, RFID adalah pilihan tambahan ketiga kepada pelanggan lebuh raya untuk membayar tol. Plaza tol di lebuh raya telah mempunyai Touch ‘n Go dan SmartTAG yang sedia ada dan RFID adalah pilihan ketiga yang diberikan untuk pelanggan lebuh raya.
Ia memberikan kebebasan kepada pelanggan untuk memilih lorong yang mana lebih lancar untuk kemudahan mereka. Selain itu, urusan tambah nilai juga menjadi sangat mudah menerusi e-Wallet, selain tiada lagi keperluan untuk menukar atau menggunakan bateri.
Walau bagaimanapun, seperti yang dijelaskan oleh Menteri Kerja Raya pada sesi Parlimen baru-baru ini, kerajaan sentiasa mengkaji dan meneliti pilihan-pilihan yang sesuai untuk memastikan kemudahan pelanggan dalam melaksanakan transaksi tol di lebuh raya diberi keutamaan.
Pengenalan teknologi ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk beralih kepada sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).
Dengan ini, RFID masih menjadi ujian rintis awam dan bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu seperti penguatkuasaan, pilihan pembayaran, kemudahan pelanggan dan banyak lagi.
Peralihan ke arah MLFF masih merupakan usaha yang sedang berjalan kerana PLUS komited untuk bekerjasama dengan kerajaan ke arah mencapai matlamat ini. Untuk jangka masa pendek, RFID adalah pilihan tambahan ketiga kepada pelanggan lebuh raya untuk membayar tol.
4. Apakah matlamat yang ingin dicapai dengan pelaksanaan RFID ini? Adakah kita berpandukan kepada kejayaan pelaksanaan RFID di negara-negara lain?
Terdapat 30 lebuh raya di seluruh negara yang dikendalikan oleh 14 syarikat konsesi yang berlainan.Daripada jumlah tersebut, 6 lebuh raya dikendalikan oleh PLUS, antaranya Lebuhraya Utara-Selatan (termasuk NKVE & Lebuhraya Seremban-Port Dickson), ELITE, Linkedua, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).Pada awalnya, sebanyak 4 buah syarikat konsesi lebuh raya menjalankan Ujian Rintis Awam RFID pada tahun 2017.
Menjelang Disember 2017, sebanyak 49 buah plaza tol Sistem Terbuka di 18 buah lebuh raya seluruh negara telah mengadakan Ujian Rintis Awam RFID.
Di PLUS, kutipan tol menggunakan RFID di plaza tol Sistem Terbukanya telah bermula pada Januari 2020 di Plaza Tol Jitra, Kempas, Lunas, Kubang Semang, Mambau, Lukut, Perling, Lima Kedai, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.
Ini diikuti dengan Ujian Rintis Awam untuk lebuh raya Sistem Tertutup di Wilayah Utara pada Julai tahun yang sama. Kami menggunakan data semasa pelaksanaan ujian rintis awam RFID di Wilayah Utara dan mengadakan beberapa penambahbaikan sebelum ia diperkenalkan di seluruh jajaran Lebuhraya Utara-Selatan bagi memastikan pelaksanaan tersebut berjalan dengan lancar.
Sebagai sebahagian daripada perjalanan digitalisasi, industri lebuh raya telah memperkenalkan kad Touch ‘n Go sebagai salah satu mod pembayaran sejak 1997. Pada tahun 1998, industri telah berinovasi dengan memperkenalkan transaksi tol secara tanpa sentuh menerusi SmartTAG, sebuah on-board unit yang melengkapi kad Touch ‘n Go.
Hari ini, sementara RFID dan SmartTAG membolehkan transaksi tol secara tanpa sentuh, pelanggan kad Touch ‘n Go pula masih perlu untuk menambah nilai kad secara manual atau di kaunter tambah nilai.
Mahupun begitu, RFID adalah kekal sebagai pilihan kerana kami akan terus berusaha untuk menambah baik pengalaman menggunakan RFID agar lebih lancar pada masa hadapan.Touch ‘n Go RFID adalah penambaikan terhadap urusan tambah nilai supaya lebih mudah. Selepas melalui transisi ke arah MLFF, pelanggan bakal menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar.
Bermatlamatkan MLFF, kerajaan telah meneroka pelbagai pilihan teknologi dan merumuskan bahawa RFID adalah pilihan yang paling berpatutan untuk kebanyakan pelanggan lebuh raya di Malaysia.
Walau bagaimanapun, teknologi masa hadapan ke arah mencapai MLFF, termasuk RFID dan/atau teknologi pelengkap, masih dalam kajian dan perkembangan selanjutnya akan diumumkan oleh kerajaan. PLUS sentiasa bersedia dan komited untuk memainkan peranan kami ke arah MLFF.
5. PLUS mengaktifkan semula lebih banyak lorong SmartTAG untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, apakah langkah seterusnya dalam peralihan perjalanan ke arah penggunaan RFID?
Sejak hari pelancaran, kami memastikan bahawa kami menggunakan amalan dan peralatan setanding dengan industri antarabangsa. Semua pembaca gantri kami mematuhi piawaian pensijilan ISO IEC180000-6C.
Dengan pelaksanaan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) dan sokongan daripada Pusat Validasi Tol kami merupakan langkah bagi melengkapkan RFID dan seterusnya membawa tahap perjalanan ke arah MLFF.
Tahun 2022 akan terus menjadi tahun pengumpulan data melalui AI Machine Learning, penyesuaian dan penambahbaikan sistem untuk menjadikan pengalaman perjalanan lebih lancar.
Selari dengan perubahan ini, kami berharap dapat memperkenalkan RFID untuk penggunaan kenderaan berat melibatkan lori dan bas.
Tahun 2023 dan seterusnya akan dapat melihat pengumpulan data, penambahbaikan dan potensi integrasi bagi mana-mana teknologi baharu yang dilaksanakan, dengan hasrat untuk memberikan kemudahan yang lebih baik kepada pelanggan lebuh raya kami.
6. Terdapat beberapa pendapat mengenai harga jualan tag RFID yang perlu lebih berpatutan, apakah pendapat anda mengenai perkara ini?
Harga jualan tag RFID tidak diputuskan atau dikenakan oleh PLUS dalam apa jua cara, ia adalah mengikut budi bicara mutlak Touch ‘n Go yang merupakan pemilik produk gerbang pembayaran termasuklah kad Touch ‘n Go dan peranti SmartTAG.Peranan PLUS adalah daripada aspek pemasangan, integrasi sistem dan operasi pembaca gantri di plaza tol dan mengekalkan standard ISO IEC180000-6C.
Apabila kami mendapat lebih banyak trafik melalui lorong RFID, kami mengumpul lebih banyak data. Data tambahan ini membolehkan kami untuk terus memperbaiki dan meningkatkan kecekapan sistem sepanjang masa, untuk memberikan pelanggan kami pengalaman perjalanan yang lebih lancar.
7. Di manakah tempat terbaik untuk memasang tag RFID?
Terdapat 24 Pusat Pemasangan RFID di sepanjang Lebuh raya PLUS yang merupakan sebahagian daripada lebih 60 Pusat Pemasangan RFID yang disediakan di seluruh negara dengan perancangan untuk membuka lebih banyak pada masa hadapan. Pelanggan boleh mendapatkan senarai melalui https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres.
Pusat ini dikendalikan oleh pasukan yang berdedikasi dan komited sepenuhnya yang pakar dalam memasang, memastikan kadar pengesanan yang tinggi daripada tag RFID pada kenderaan anda.
Kami juga ingin menggalakkan pelanggan raya yang mengalami isu pengesanan tag RFID untuk mengunjungi mana-mana pusat Pemasangan terdekat untuk pemeriksaan lanjut bagi membetulkan masalah yang mereka hadapi berkenaan tag RFID mereka.
Baca juga: Pesawah berjaya tangguh hukuman penjara 7 tahun selepas petik kes Najib Tun Razak
Baca juga: Penduduk Shanghai bunuh diri ekoran lockdown yang terlalu ketat