ADUN gesa kerajaan rombak sistem AP yang menjadi punca harga makanan mahal. Dalam tempoh dua tahun lepas, kenaikan harga makanan asas didapati jauh melebihi kadar peningkatan gaji rakyat Malaysia dan salah satu punca utama peningkatan harga makanan asas adalah disebabkan sistem Approved Permit (AP) untuk mengimport makanan.
ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, memandangkan hampir 60 peratus makanan untuk rakyat Malaysia diimport dari luar negara, maka kerajaan perlu segera merombak sistem AP dengan segera bagi menangani kos sara hidup rakyat.
Menurutnya, menerusi sistem ini, pihak yang mempunyai AP hanya membuat keuntungan atas angin kerana realitinya keuntungan itu dibayar oleh rakyat Malaysia kerana golongan ini sahaja yang boleh mengimport makanan asas termasuk beras, ayam, sayur-sayuran dan kelapa yang kemudiannya dijual kepada pemborong dan peruncit.
“Malaysia memerlukan perubahan struktur untuk menyelesaikan isu inflasi makanan. Paling penting, sistem AP ini harus dirombak untuk membolehkan pemborong dan penjual mengimport secara terus dari luar negara.
“Liberalisasi sistem AP boleh mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan seterusnya membantu menurunkan harga makanan asas yang terjejas akibat sistem AP.
“Maka kerajaan harus mengumumkan secara terbuka semua pemegang AP di Malaysia supaya rakyat boleh menilai bahawa sistem ini hanya menguntungkan kroni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu Faiz turut berkongsika data Jabatan Perangkaan yang menunjukkan berlakunya ledakan inflasi makanan antara Disember 2019 hingga Februari 2022. Misalnya, harga tomato telah melonjak 30.6 peratus dalam tempoh ini daripada RM5.19 ke RM6.78 sekilogram.
Harga telur gred A 10 biji telah naik 14.1 peratus daripada RM3.89 ke RM4.44. Harga sekilo ayam pula naik sebanyak 17.8 peratus daripada RM8.03 ke RM9.46. Manakala, harga minyak masak 5kg telah naik hampir 41 peratus daripada RM20.98 ke RM29.54.
Pada masa yang sama, kenaikan gaji di Malaysia pula jauh lebih rendah berdasarkan data Persekutuan Majikan Malaysia di mana gaji pekerja tahap eksekutif hanya meningkat sebanyak 4.82 peratus dan 4.4 peratus pada tahun 2020 dan 2021.
Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional itu menambah, sekiranya situasi ini berterusan, di mana harga barang asas melonjak lebih tinggi daripada kadar peningkatan gaji, rakyat Malaysia akan terus sengsara akibat inflasi terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Baca juga: PLUS bagi penjelasan mengapa kita perlu beralih kepada RFID
Baca juga: Abang Qu hanya berlakon sebagai PA Vida, masih tidak dapat surat tawaran