Husam dedah imej satelit Hutan Simpan Nenggiri sudah gondol

Oleh NASUHA RAHMAN

Posting terbaru Dato Husam Musa pada 24 April 2022 mendedahkan sekeping gambar dari imej satelit bertarikh 30 March 2022 di Kompartmen 47 Hutan Simpan Nenggiri yang sudah gondol sebahagiannya.

Kompartmen 47 adalah sebahagian sahaja daripada 32 kompartmen balak yang telah ‘tersalah lulus’ seluas 15,000 ekar.

Sebelum ini, Husam memaklumkan Jawatankuasa Kecil Perhutanan Kelantan bil 1/2019 dan bil 2/2019 telah meluluskan kawasan hampir 15,000 ekar untuk pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri.

Surat 11 Jun 2020 dari pejabat Menteri Besar Kelantan kepada Pengarah Jabatan Hutan Kelantan memaklumkan bahawa HSK Nenggiri di Luar Kawasan Pembangunan Ladang Hutan (tidak boleh tebang habis dan balak), sepatutnya tebang tempat lain dan tindakan ini dikatakan tersalah urus.

Aktivis #Save Kelantan Hishamuddin Mohd Ghazali berkata sepatutnya apabila keluar surat dari Pejabat Menteri Besar kerja-kerja pembalakan hendaklah dihentikan terus.

Husam dedah imej satelit Hutan Simpan Nenggiri sudah gondol
Surat daripada Pejabat Menteri Besar mengarahkan Pengarah Jabatan Hutan Kelantan membekukan projek pembangunan di Hutan Simpan Nenggiri

Namun Hishamuddin mempersoalkan bagaimana siasatan mereka sedangkan melalui imej satelit bertarikh 30 Mac 2022 jelas kelihatan aktiviti kerja-kerja pengondolan hutan masih dan kenapa berlaku?

Soalnya lagi, imej terbabit jelas menunjukkan bukit-bukit yang telah ditereskan dan hutan yang telah dibersihkan dan terdapat aliran anak-anak sungai yang masih kelihatan kini terdedah dan telah terganggu.

“Kenapa Menteri Besar Kelantan dan Jabatan Perhutanan tidak menghentikan sepenuhnya kegiatan tersebut?

Hishamuddin Mohd Ghazali

“Adakah surat maklum ‘tersalah lulus’ sampai 15,000 ekar itu hanya untuk mengaburi rakyat awam, tetapi kerja kerja memusnahkan hutan terus berlaku?” soal beliau melalui Facebooknya.

Justeru beliau meminta rakyat Kelantan yang sayangkan Negeri menyoal balik Menteri Besar, Timbalan dan Exco-exco Kelantan kenapakah perkara ini terus berlaku.

Dalam pada itu, Husam melalui kenyataannya memetik sepotong ayat dari Surah Al Mulk, ayat 30 yang bermaksud; “Katakanlah: ‘Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu meresap ke dalam Bumi menjadi kering; maka siapakah yang akan mendatangkan air melimpah yg mengalir bagimu (semula)?’

Menurut Husam yang turut berkongsi gambaran satelit hutan ayat tersebut menggerunkan bagi sesiapa yang mampu merenung.

“Merujuk kepada nostalgia lama manusia pada satu akan datang mengenai keadaaan masa yg telah berlalu. Teringat dulunya sumber air melimpah ruah sehingga alirannya ada di mana-mana dan dapat dilihat mata.

“Kerana itu, pada masa itu mereka mengambil mudah.

“Sekalipun hutan-hutan asli dimusnahkan dengan sangat luas, aliran air itu tetap akan ada, pada sangkaan mereka. Apa nak kisah.

Husam Musa

“Pada hal, Allah mentadbir alam ini antaranya dengan hukum sebab akibat yg jelas – memperingatkan tidak begitu. Sangkaan itu salah sama sekali.

“Pemusnahan oleh tangan-tangan kamu akan berakhir dengan meresapnya air itu ke dalam Bumi.

“Panas matahari selepas hilangnya hutan-hutan itu menjadikan Bumi separuh mati dan menelan air-air itu ke titik terdalam – غَوْرًا / ghauran.

“Pada masa itu, menangis tak berguna lagi. Ia tidak akan terjadi esok. Namun, ia tetap akan terjadi jika peringatan Allah ini tidak diendahkan.

“Antara dua masa dan dua keadaan ini, Ayat ini membawa kita merenung. Keadaan masa akan datang penuh kesusahan dan keadaan masa lalu penuh kenikmatan. Tetapi diabaikan Peringatan Allah,” tulis beliau.

Baca juga: Atas nama Ladang Hutan, tanah Hutan Simpan Kekal diancam kepupusan di Kelantan