Ketegasan Sultan Selangor dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan menggantung dan menarik balik darjah kebesaran dari Datuk Seri Najib Razak selepas didapati bersalah menerima rasuah menjadi kebanggaan rakyat.
Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad dalam kenyataan media beliau hari ini berkata, tindakan setegas ini amat sangat dialu-alukan kerana ia turut memberi mesej yang jelas kepada semua pihak khususnya penjawat awam bahawa tiada kompromi dengan rasuah dan salahguna kuasa di Negeri Selangor.
“Ini amat diperlukan lebih-lebih lagi dalam keadaan amalan rasuah ingin dijadikan satu kebiasaan dengan gambaran siapa yang tidak merebut peluang rasuah dilabel sebagai bodoh dan rugi. Dan yang mengambilnya boleh pula berbangga dengan bertemakan “malu apa”.
“Dengan tindakan sebegini, paling kurang, ‘moral compass’ warga Selangor dapat dipandu ke arah yang betul dan akhlak bersih dari rasuah dapat mula dibina kembali,” kata ahli Parlimen Shah itu.
Menjelang bulan Mei, beliau teringat peristiwa penggantungan Darjah Kebesaran Selangor kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ini telah berlaku pada 10 Mei 2019. Pada ketika itu Najib dan Rosmah sedang berhadapan dengan pertuduhan dan melalui proses perbicaraan, kata Khalid.
“Sebagai ahli Parlimen Shah Alam dari Negeri Selangor, saya berasa amat bangga dengan ketegasan yang ditunjukkan oleh Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.
“Tindakan ini menunjukkan kepada semua bahawa DYMM Sultan Selangor amat menghargai Darjah Kebesaran Selangor dan peribadi yang tercemar dengan kes rasuah dianggap tidak layak untuk memegang Darjah Kebesaran Selangor.
“Ini dilakukan Baginda pada ketika Najib dituduh dan belum lagi disabitkan lagi kesalahan tersebut dan penggantungan ini akan berkuatkuasa sehingga kes perbicaraan dan rayuannya selesai di mahkamah.
“Sekiranya didapati bersalah, saya yakin ia akan terus dilucut dan kalau sebaliknya, maka penggantungan akan ditamatkan,” kata beliau.
Beliau juga mendapati bahawa Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah turut menarik balik, bukan menggantung Darjah Kebesaran Negeri Sembilan yang pernah dikurniakan pada Najib dan Rosmah.
Tindakan menarik balik Darjah Kebesaran Negeri Sembilan telah dilakukan beberapa hari sebelum tindakan DYMM Sultan Selangor.
“Ketegasan Yang Di-Pertuan Besar perlu juga dirakamkan dengan penuh hormat. Tindakannya turut memberi mesej yang jelas bahawa tiada tempat bagi perompak dan perasuah di Negeri Sembilan,” kata Khalid.
Setakat ini, dua Institusi Kesultanan Melayu ini sahaja yang telah mengambil tindakan yang betul dan tepat ini walaupun Najib, pada hari ini, telah pun didapati bersalah dan dijatuhkan hukum penjara dan denda.
“Laungan “Daulat Tuanku” wajar berkemundangan hasil ketegasan kedua-dua DYMM ini. Dalam Bahasa biasa dikatakan “Kudos to the two!”.
“Adalah diharapkan tindakan mereka akan dicontohi yang lain. Negara kita amat memerlukan satu ketegasan yang sebegini terhadap amalan rasuah dan salah guna kuasa.
“Dan siapa yang lebih layak untuk mengetuai tindakan menolak rasuah dan salah guna kuasa selain institusi kesultanan Melayu yang merupakan Ketua Agama Islam di Negeri masing-masing.
“Sewajarnya mereka memimpin rakyat untuk menolak bersama amalan terkutuk dan menjijikkan seperti rasuah dan salah guna kuasa.
“Amat sangat mengecewakan sekiranya institusi yang menjadi penjaga Melayu dan Islam dilihat sebagai pembela perasuah dan perompak,” kata Khalid.