Kisah pengorbanan nenek habiskan sisa hidup menjaga cucu autisme

Oleh NASUHA RAHMAN

Seorang nenek yang sudah uzur sanggup habiskan sisa hidupnya menjaga cucu yang autisme. Ya…bukan mudah untuk menjaga kanak-kanak istimewa terutama sekali golongan autisme. Golongan ini perlu dijaga dengan penuh kesabaran, kasih sayang dan tumpuan yang sepenuhnya terhadap mereka setiap hari.

Di laman Facebook, tular satu perkongsian cerita mengenai seorang nenek Tok Hindun berusia 84 tahun yang tabah menjaga cucunya yang autisme sudah berusia 27 tahun.

Cucunya yang sudah kehilangan ibu ayah sekian lama terpaksa diletakkan dalam bilik khas berlantaikan semen dan berjaring.

Tok Hindun dengan tulang empat keratnya ini akan masuk ke dalam bilik dan menyuap makan kepada cucunya yang dipanggil Along. Bila hendak buang air cucunya akan gunakan jamban cangkung di hujung bilik berjaring itu.

Di usia yang lanjut ini, Tok Hindun tekad menjaga cucunya kerana baginya Alonglah segala-galanya, namun dia berpesan jika dia ‘pergi’ dia mahukan ada yang menjaga cucunya nanti.

Kisah pengorbanan nenek habiskan sisa hidup menjaga cucu autisme
Along dikurung dalam bilik yang berjaring dan sangat bersih

Ikuti perkongsian kisah nenek uzur ini dari pengguna facebook Natipah Abu

KISAH DI SEBUAH DESA

Setiap kali menjelangnya Ramadan … Kak Pah akan ziarah Tok Hindun. Nenek yang telah berusia 84 tahun ini, tabah menjaga cucu kesayangannya yang austime sejak belasan tahun lalu.

Cucu yang yatim piatu itu hakikatnya tak tahu apa-apa pun. Anak syurga itu, tidak boleh bercakap walau sepatah dan tidak juga boleh mengurus diri. Dipakaikan baju … dia buang dan campak semua.

Along … sudah 27 tahun usianya. Mula-mula ayah meninggal, kemudian ibu pula menyusul. Sejak itu .. Along dijaga sepenuhnya oleh Tok Hindun.

Siang hari .. Along terpaksa diletakkan di dlm bilik khasnya. Di bilik khas yang berlantaikan semen dan berjaring separuh itu lah, Along akan mengisi harinya.

Bila ada orang lalu lalang, riuh rendah Along menyapa dgn caranya tersendiri. Waktu makan .. Tok Hindun akan masuk ke dalam bilik dan suapkan Along makan. Bila hendak buang air … Along akan gunakan jamban cangkung di hujung bilik itu.

Walaupun bilik ini dhaif .. tapi sangat bersih. Tiada bau yang kurang menyenangkan pun dari tubuh Along. Bukti Along dijaga rapi oleh Tok Hindun.

Dulu .. orang tuduh Tok Hindun dera Along. Malah orang siap lapur kepada polis dan pihak polis turun ke rumah Tok Hindun.

Betul Tok Hindun kurung Along di bilik itu. Betul Tok Hindun pasang mangga sebesar penumbok di tingkap yang menjadi pintu masuk Along ke ruang tengah rumah.

Betul .. malam-malam pintu papan rumah usang  Tok Hindun tu, tak cukup dgn mangga … dia belit pula dgn rantai besi dua tiga hasta.

Sebab …
Kalau Along terlepas keluar, Along akan berlari tanpa mengenal bahaya. Along pernah terlepas keluar dalam keadaan bogel.

Bukan mudah utk mengejar Along. Kudrat Along sangat luar biasa. Jika dibandingkan dengan Tok Hindun, Along tepis sekali pun sudah rebah tergolek.

Walaupun rumah Tok Hindun mangga sebesar penumbuk ada dua tiga ketul, rantai besi 3 - 4 hasta ada dua- tiga lapis tapi .. Tok Hindun tak pernah tinggalkan Along sendirian. Ke surau pun Tok Hindun tak pernah kerana bimbangkan Along.

Manalah tahu .. ketika Tok Hindun keluar, rumah buruk itu terbakar. Macam mana dengan nasih Along ! Menangis air mata darahlah Tok Hindun …

Alonglah nyawa Tok Hindun .. setiap malam Along dibawa keluar dari bilik khas dan Along akan tidur dengan nyenyaknya sebelah Tok Hindun. Tak pernah sekali kali Along mengasari Tok Hindun jauh sekali mencedarakan orang tua itu.

Tok Hindun merenung nasib cucu kesayangannya selepas ketiadaannya nanti

“ Kalau ku mati, mu ambiklah Mat Pizi ni, pi bela bagi elok tang mana-mana …. “

Sebak Kak Pah bila Tok Hindun pesan begitu. Selama ni, tak pernah pun Tok cakap begitu. Kak Pah faham maksud Tok Hindun . Tok Hindun mahu Along dihantar ke rumah kebajikan ….

“ Betul ka ni …”

“ Haaa .. mu dengar wi molek. Kalau ku mati sok, mu ambiklah dia wak gi mana-mana … wi demo bela bg elok .. “
Kak Pah mengangguk … barangkali Tok Hindun cukup sedar, lambat laun dia harus pergi meninggalkan Along,”.

Baca juga: Aktivis bela Bella persoal JKM Wilayah kerjasama dengan ‘orang kuat’ Siti Bainun

Baca juga: Wanita tertua di dunia meninggal pada usia 119 tahun