Sukar nak kerjasama dengan pihak yang dah ‘conteng arang’ pada PH

Oleh KIM SYAZIE

Pakatan Harapan (PH) tidak pernah menutup pintu untuk berunding dengan mana-mana parti pembangkang terutama dalam soal memperkuat blok itu untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 ( PRU-15).

Bagaimanapun dalam usaha merapatkan kerjasama parti-parti pembangkang, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, PH tidak boleh sama sekali berpecah.

“Dari segi kerjasama dengan parti pembangkang lain, kita usaha merapatkan semua pihak. Itu satu proses yang masih berlanjutan. Contohnya di Parlimen apabila ada Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti, kita jemput parti lain bersama-sama kita.

“…… Kita tak tutup peluang (kerjasama) dengan parti lain tapi kita ada parameter kita siapa yang boleh dirundingi. Yang penting jangan berlawan antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas sesi berbuka puasa dengan media malam tadi, di Kampung Sungai Penchala.

Sukar nak bekerjasama semula dengan pembelot

Pada 24 April lalu, Presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin, seolah-olah memberi bayangan parti itu bersedia menyertai agenda ‘khemah besar’ yang dibawa oleh blok pembangkang, apabila menyatakan kesediaan berunding dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRU15.

Mengulas kemungkinan berlaku rundingan dengan parti Bersatu, Anthony berkata agak sukar untuk bekerjasama dengan parti itu selepas sejarah hitam yang dilakukan terhadap PH dengan menggulingkan rakan sekapal mereka sendiri dalam Langkah Sheraton.

Apa yang penting katanya, PH perlu perkuatkan gabungan mereka untuk berdepan dengan PRU-15 dengan bersungguh-sungguh dan tidak terlalu fokus pada rundingan dengan pihak lain (bukan dalam kalangan pembangkang).

Fokus masih lagi pada RUU, bukan MoU

Dalam perkembangan lain, Anthony berkata PH belum lagi berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membincangkan tentang memorandum persefahaman (MoU) yang dilaporkan tidak akan disambung lagi.

Beliau berkata, gabungan itu kini sedang fokus untuk menjayakan RUU Anti Lompat Parti di Parlimen dan perbincangan mengenai RUU berkenaan mesti dilaksanakan terlebih dahulu sebelum adanya perbincangan lain.

Baca juga: Mengapa KL masih dilanda banjir walau bilion ringgit habis untuk tebatan banjir?

Baca juga: Penduduk Shanghai bunuh diri ekoran lockdown yang terlalu ketat