Orang ramai nasihatkan Muda fokus gesa banteras seludup dadah, korupsi

Oleh ARIF ATAN

Orang ramai menasihatkan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) supaya memberi tumpuan kepada masalah sebenar jenayah di negara ini susulan kenyataan parti itu berkaitan hukuman gantung dikenakan kepada Nagaenthran Dharmalingam.

Rata-rata warganet mengkritik parti diterajui Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tersebut ekoran luahan kesal Muda terhadap keputusan pihak mahkamah di Singapura itu.

Stakat ini, lebih 300 komentar membanjiri ruang komentar hantaran Parti Muda berkenaan isu tersebut selepas lebih 24 jam dimuatnaik.

“Sepatutnya Muda fokus kepada bagaimana nak membanteras penyeludupan dadah, bukan hentam sistem perundangan negara jiran,” kata Suhaimi Ahmad Rahim.

Sementara itu, Saiful Hisham berpendapat ada baiknya Muda menggesa Kementerian Pendidikan supaya menerapkan penekanan tentang bahaya dadah dan korupsi di peringkat sekolah menengah.

Pengguna Facebook, Cikgu Muhd Syafiq pula menyifatkan hukuman gantung untuk jenayah penyeludupan dadah wajar dalam memberi iktibar kepada generasi sekarang dan akan datang untuk tidak melakukan perkara sedemikian.

“Muda sepatutnya sokong perkara ini supaya menjadi pengajaran pada generasi muda akan datang supaya tidak mengulangi perkara yang sama. Hukuman dilakukan sebagai peringatan.

“Tanpa amaran dan hukuman yang keras seperti ini lagi ramai orang menjual dan membeli dadah. Dadah punca kerosakan remaja atau generasi muda.

“Kita bukannya bercakap tentang sekarang. Kita bercakap tentang masa depan. Kalau tiada duit, kerja. Banyak kerja yang halal. Saya sokong Muda tetapi bukan kenyataan ini,” katanya.

Terdahulu, Muda menerusi hantaran di Facebook rasmi partinya menyatakan masih kesal dengan keputusan mahkamah menghukum gantung individu cacat mental yang telah dipenjarakan sejak 2009 selepas menyeludup masuk 42.72 gram dadah berjenis heroin ke Singapura.

“Muda turut bersimpati akan keluarga dan rakan-rakan Nagaenthran. Sudah tiba masanya untuk undang-undang digubal dan hukuman sampai mati dimansuhkan agar tidak ada lagi nyawa yang dikorbankan,” katanya.

Ekoran kenyataan rasmi Muda itu, orang ramai mengingatkan parti tersebut agar tidak menangguk di air keruh selain menghormati undang-undang di negara luar.

“Itu undang-undang di sana. Kita masuk negara orang kenalah hormat dan ikut undang-undang negara tersebut,” nasihat Mohdzuwairi Masirat.

Hal sama juga dibangkitkan Fitra Rusli bahawa hukuman mati memang wajar untuk pengedar dadah.

“Kalau tidak, ramai anak bangsa jadi mangsa. Kenapa pula nak gubal undang-undang berkaitan isu dadah.

“Sepatutnya, kesal sebab terlampau banyak kes dadah di negara kita yang masih belum dapat dibendung,” katanya lagi.

Pagi semalam, Nagaentran, 34, menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura selepas didapati bersalah menyeludup dadah ke Singapura pada 2009.

Nagaenthran yang berasal dari Ipoh dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72 gram heroin pada 2009 ke Singapura.

Anak kedua daripada empat beradik itu sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021 tetapi mendapat penangguhan sementara pada 9 November.

Penangguhan itu diperoleh selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19 ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu Nagaethran untuk mencabar keputusan bagi mengenepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 November 2021 menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes tersebut.

Singapura antara negara di dunia yang mengenakan hukuman berat terhadap jenayah berkaitan narkotik.

Nagaentran menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura selepas didapati bersalah menyeludup dadah.

Baca ‘Jangan hanya santuni anak muda berjaya, yang bermasalah juga perlu dibantu’

Baca Lelaki kongsi 5 punca enjin kereta cepat panas