- Maksiat kembali berpesta
Kelab malam dibenarkan dibuka semula mulai 15 Mei depan bersamaan 13 Syawal. Jika semasa pembentukan Muafakat Nasional (MN) dulu, ada pemimpin Pas siap kata malaikat di langit melaungkan takbir sehingga bergema ke seluruh penjuru alam.
Malah, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mokhtar Senik yakin MN adalah piagam yang menggetarkan hati syaitan.
Tapi kerajaan Melayu Islam BN-Pas lain macam. Pembukaan semula kelab malam diumum pada 10 hari terakhir Ramadan. Sah, maksiat kembali berpesta.
Nah, sekarang hati syaitan tentunya riang berpesta dengan pembukaan semula kelab-kelab malam yang berkaitan rapat dengan minuman keras dan pergaulan bebas.
Tindakan membenarkan kelab malam dibuka sebagai antara kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 gambaran kerajaan pada masa ini bukanlah hebat dan bersungguh mana dalam memelihara akhlak dan kesejahteraan masyarakat jauh sekali mampu menyemai nilai murni Islam.
- Judi berganda nyawa
Sudah molek zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH), cabutan judi dikurangkan kepada lapan kali, alih-alih apabila Pas menganggotai kerajaan ‘tebuk atap’, cabutan judi kembali naik kepada 22 kali sama seperti zaman BN.
Walhal, PH yang hanya sempat 22 bulan menjadi kerajaan sudah berusaha mengurangkan impak judi yang juga menghantui masyarakat bukan Islam.
Pas yang dilihat gah sebagai pejuang Islam dengan mendakwa Islam terancam serba-serbi semasaPH memerintah sekarang terbukti berjuang isu judi di negara sendiri pun gagal.
Jelas, keputusan mengembalikan judi kepada 22 kali cabutan boleh dianggap menyuburkan kembali judi yang terang-terang hakam hukumnya di sisi Islam.
- Akhlak masyarakat punah
Kerajaan sudah pun mengaku tiada kuasa untuk menyekat secara langsung klip video raya oleh seorang usahawan kosmetik kontroversi.
Sekatan itu hanya boleh dilakukan apabila mendapat perintah mahkamah. Itu kata menteri kerajaan Melayu Islam bukan menteri DAP. Ya. Itu sajalah yang mampu dibuat di pihak kerajaan yang kuasa sudah sepenuhnya ada di tangan. Lemah.
Menteri Agama yang merupakan pemimpin Pas pun ada menegur. Setakat tegur sajalah yang mampu nampaknya hinggakan ada yang menggelar Menteri Teguran dari Jabatan Tegur Menegur Malaysia.
‘Teguran lembut’ menteri itu sudah mengundang kecaman ramai rakyat yang sebenarnya mengharapkan kerajaan mengenakan tindakan lebih keras memandangkan individu yang sama juga sebelum ini selamba menyumbat seorang ikon transgender dalam siri klip videonya.
Ironinya, klip video yang dianggap cara halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) itu menjadi tontonan termasuk kanak-kanak dan remaja ketika bulan Ramadan.
Mungkin kalau hal ini berlaku ketika PH memerintah, agaknya masyarakat Muslim sudah beraya di Padang Merbok di Kuala Lumpur berdemonstrasi menyerang kerajaan yang dituduh menyokong LGBT.
- Kos haji melambung
Kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada tahun ini melambung kepada lebih RM25,000. Hairannya, penyokong kerajaan terutama Pas tidak bangkit melenting pula.
Jika kenaikan kos haji ini berlaku semasa era Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa sebagai Menteri Agama, sudah pasti pelbagai tuduhan dan fitnah dilemparkan.
Bijaknya menteri agama sekarang, dia tidak mengumumkan peningkatan 12 peratus berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019 itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad pada 21 April lepas hanya mengumumkan kuota haji Malaysia tahun ini adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima.
Walaupun Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) agih untung selepas zakat mencecah RM2.46 bilion bagi tahun kewangan 2021, tapi tidaklah benar-benar kerajaan Islam BN-Pas manfaatkan bagi mengurangkan kenaikan susulan kadar cukai dan caj perkhidmatan baharu dikenakan kerajaan Arab Saudi.
Nampak tak? “Lima hari sahaja kita perintah, kita akan tengok berubah lagu (macam) mana” nampaknya bukanlah semudah pelaksanaan sembang mendabik dada.
- Harga makanan mencanak
Harga barangan naik secara mendadak terutama bahan mentah ketika kerajaan ‘Isley’ memerintah. Entahlah. Apa dibuat barisan menteri yang ramai itu tak tahulah.
Malangnya, ketika pengguna menjadi mangsa kenaikan harga, peniaga runcit juga ditekan dengan dikenakan kompaun ketika peniaga ayam contohnya, menerima harga yang sudah sedia tinggi.
Padahal, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika di bawah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail era PH sudah pun berjaya mengawal harga makanan dan barangan asas.
Sebaliknya, kerajaan PN-BN macam lebih berminat bermain politik dengan berebut kuasa melalui siri pilihan raya ketika rakyat bergelut dengan kemelut kenaikan kos bahan makanan.
Kerajaan diterajui pemimpin Umno sekarang dilihat bukannya bersungguh-sungguh menyelesaikan hal penting membabitkan kepentingan rakyat terbanyak.
- Ringgit jatuh bergolek
Ringgit Malaysia jatuh bergolek dan berada di paras rendah berbanding dolar AS sebanyak 4.4 peratus dan dolar Singapura sebanyak 2.4 peratus pada tahun ini.
Penyusutan parah matawang negara ini adalah terburuk sejak 2021 menghampiri kejatuhan yang dicatatkan pada 2020.
Akibatnya, rakyat berisiko menanggung kesan kenaikan harga barang di pasaran runcit memandangkan kebanyakan komoditi dan makanan di Malaysia diimport dari luar.
Serentak itu, Bank Negara dijangka meningkatkan kadar pinjaman selain melakukan dasar kewangan yang ketat bagi menstabilkan mata wang tempatan.
Rantaian kesan selanjutnya tentulah terpalit pada rakyat yang telah sedia menanggung hutang keliling pinggang. Kadar pinjaman termasuk hutang pembiayaan rumah misalnya, akan melambung sekaligus menambahkan beban rakyat.
- Indeks rasuah parah
Malaysia merekodkan prestasi yang terburuk dalam penarafan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) sejak kerajaan pintu belakang bermula pada 2020 menggantikan kerajaan yang dipilih rakyat pada PRU 2018.
Selepas PH dikhianati, penurunan CPI negara berlaku selama dua tahun berturut-turut.
Padahal, semasa era PH, Malaysia berada di kedudukan ke-61 pada 2018 dan tahun berikutnya meningkat lagi ke tangga ke-51.
Mungkin itu sebabnya pemimpin BN dan PN serta Pas seperti tidak tenteram sewaktu PH jadi kerajaan tetapi mendendangkan ‘lagu’ Islam dan Melayu terancam.
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio