Kerajaan digesa untuk memberikan subsidi tunai kepada golongan petani ekoran harga baja yang dilaporkan meningkat di peringkat global ketika ini.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan boleh memulakan dengan memperuntukkan sejumlah subsidi tunai sebanyak RM100 bagi setiap satu tan sayur-sayuran yang dihasilkan petani, sebagai usaha membantu mengurangkan kesan kenaikan besar terhadap kos baja yang kini meningkat daripada RM120 kepada sekitar RM200.
Menurut Salahuddin, kenaikan ini dipercayai dipengaruhi oleh isu pencerobohan dan ketidaktenteraman yang berlaku antara Rusia dan Ukraine sejak 24 Februari lalu.
Untuk rekod, Ukraine merupakan antara pengeluar terbesar bagi sumber pengeluaran yang berasaskan baja dan tanaman sehingga dikenali sebagai ‘the bread basket of Europe’, kerana menjadi antara pembekal utama bijirin, oat, barli, jagung, dan gandum.
“Mengambil kira krisis perubahan iklim serta ketidaktentuan cuaca, risiko cuaca yang buruk akan menjejaskan tanaman serta menghapuskan sumber pengeluaran.
“Sekitar Disember 2021 sahaja, kelembapan hujan yang tinggi yang direkodkan adalah menyamai keseluruhan hujan tahunan pada tahun 2020 sehingga akhirnya menimbulkan ‘dilema’ bagi golongan petani untuk meneruskan kegiatan pertanian sekiranya cuaca tidak menentu.
“Krisis ketidakseimbangan ini seharusnya dijadikan sebagai satu peluang untuk melihat semula kelompongan dan jurang sedia ada bagi memperbaharui rantaian nilai agro bagi melindungi dan menjamin kedaulatan makanan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru itu Ahli Parlimen Pulai itu berkata, kerajaan perlu menyatakan solusi yang lebih baik bagi menangani tiga permasalahan utama iaitu berkenaan kenaikan harga baja serta kos operasi.
Seterusnya, tentang nasib golongan petani dan pengeluar tempatan, serta ketidakstabilan jaminan bekalan makanan untuk masa hadapan.